Berita

Karpal Singh selar tuduhan jahat Tajuddin Rahman

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh menyifatkan tuduhan jahat yang dilemparkan Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Tajuddin Abdul Rahman terhadapnya baru-baru ini sebagai tindakan berunsur hasutan jahat yang tidak boleh diterima.

“Baru-baru ini dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tajuddin menyatakan satu fitnah jahat yang amat tidak masuk akal terhadap saya. Saya hairan macam mana orang seperti ini boleh dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi Timbalan Menteri.

“Bukan saja Tajuddin, malah ramai antara menteri dan timbalan menteri yang dilantik Najib dalam Kabinetnya yang tidak berkualiti dan tidak berwibawa.

“Apa yang Tajuddin katakan, jika Pakatan Rakyat menang dan memerintah negara, Pakatan Rakyat akan melantik saya sebagai Presiden Malaysia dan kemudiannya menghapuskan raja-raja.

“Saya mahu nyatakan, jika saya jadi Presiden, apa yang saya akan hapuskan adalah Barisan Nasional (BN),” guraunya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bersama media di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, di sini, semalam.

Antara pimpinan DAP yang hadir pada majlis berbuka puasa itu adalah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ketua Wanita DAP, Chong Eng, Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong dan beberapa pimpinan lain.

Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor berkata, beliau sudah lali dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya demi kepentingan politik kotor sebilangan pihak.

“Sepanjang 43 tahun berkecimpung dalam arena politik sejak 1970 bermacam-macam tuduhan yang dilemparkan kepada saya, dituduh anti Melayu, anti sultan, anti Islam dan sebagainya.

“Tapi apa yang benar adalah saya orang yang mewakili semua kaum, tidak ada perbezaan. Melayu, Cina dan India kita semua rakyat Malaysia,” katanya.

Walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap dirinya dan pimpinan DAP serta PR, beliau yakin gabungan kuat antara tiga parti itu akan membawa kejayaan dalam masa lima tahun lagi.

“Kita perlu terus bersatu padu supaya menjadi satu pakatan yang lebih kuat. Sekarang kita sudah mempunyai 89 Ahli Parlimen, jumlah yang boleh dikatakan agak besar, barangkali tidak mustahil lima tahun lagi kita akan menang dan memerintah negara.

“Mengapa saya yakin kita akan menang? Kerana PR merupakan pakatan yang bertindak untuk semua pihak,” ujarnya.

Mengenai fitnah Tajuddin itu, Karpal berkata, beliau akan membuat laporan polis hari ini terhadap Tajuddin berhubung kenyataan hasutannya itu di Balai Polis Tun HS Lee.–Roketkini.com