KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Negara sekali lagi dikejutkan dengan kematian dalam tahanan pihak berkuasa di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Perak apabila Chew Siang Giap, 26, menjadi mangsa terbaru dengan beberapa kesan hitam pada tubuhnya, semalam.
Lebih mengejutkan, apabila mangsa hanya baru beberapa hari dimasukkan ke pusat berkenaan iaitu pada 12 Julai lalu.
Mendedahkan perkara ini, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata, insiden kematian ini sangat aneh menggesa satu siasatan menyeluruh diadakan.
“Beliau baru sahaja dimasukkan untuk pemulihan tetapi mati,” katanya.
Siva berkata, menurut ayah si mati, Chew Ba, anaknya memang didapati menyalahgunakan dadah dan ditahan selama 60 hari di IPD Kangar, Perlis.
“Selepas ditahan 60 hari, pada 12 Julai lalu, Siang Giap dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dalam keadaan sihat dan baik sehingga bapanya menerima panggilan telefon kira-kira jam 2.19 pagi mengatakan anaknya meninggal dunia,” jelasnya.
Justeru itu, Siva yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan mendesak agar kes ini diteliti dan mahu ianya tidak ada sebarang unsur cover-up apabila laporan bedah siasat diperoleh.
“Kita mahu satu laporan bedah siasat yang telus dan mahu tahu apa, bagaimana dan siapa yang menyebabkan kematian. Kita tidak mahu tuduh sesiap. Siasat dulu betul-betul dan dedahkan kebenaran,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, beliau turut kecewa dengan maklumat yang diberi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini mendedahkan hanya dua kematian berlaku dalam tempoh 13 tahun kerana polis berbanding lebih 300 kes kematian dalam tahanan.-Roketkini.com