Berita

Pelaksanaan projek 1BestariNet RM663 juta ‘perguna’ wang rakyat?

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Adakah wang pembayar cukai digunakan untuk pengembangan komersial rangkaian 4G YES YTL? Kementerian Pendidikan diminta menjelaskan kepada rakyat samada wang pembayar cukai dipergunakan untuk pelaksanaan projek 1BestariNet bernilai RM663 juta yang ditawarkan kontrak kepada syarikat kroni, YTL Corporation Bhd (YTL).

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, Kementerian Pendidikan perlu menjelaskan segera beberapa perkara berikut iaitu

  1. Mengapa YTL dibenar mengaut keuntungan tambahan daripada infrastruktur yang dipasang di kawasan sekolah bagi kegunaan pendidikan?

  2. Adakah YTL akan dikenakan bayaran terhadap menggunakan tanah sekolah untuk tujuan komersial

Beliau berkata, kementerian harus menjawab soalan berkenaan dan sekiranya benar, skandal ini akan memberi makna baru kepada istilah kronisme.

“YTL bukan sahaja mendapat manfaat daripada perjanjian berbilion ringgit yang sangat menguntungkan itu, malah berjaya mencari jalan licik untuk mengembangkan infrastruktur komersial mereka ke seluruh negara dengan pembiayaan wang pembayar cukai.

“Saya menerima jawapan di Parlimen yang menyatakan projek itu membabitkan pemasangan jalur lebar berkelajuan tinggi berasaskan teknologi 4G, dengan kelajuan minimum 4Mbps sehingga 20Mbps, meliputi 9,889 sekolah di seluruh negara.

“Pada 5 Jun lalu, 7,139 sekolah sudah dilengkapi dengan 1BestariNet. Projek itu bakal menelan belanja sebanyak RM663 juta bagi tempoh kontrak dua tahun enam bulan mulai Januari 2012, di mana RM463 juta atau 69% sudah pun dibayar.

“Pelaksanaan 1BestariNet juga mencakupi pembinaan menara telekomunikasi di dalam dan di sekitar kawasan sekolah. Pada 31 Mei lalu, 1,503 menara 1BRIS (1BestariNet Receiver Integrated System) sudah dibina dan beroperasi, sementara 281 sudah dibina tetapi belum beroperasi dan 53 menara masih dalam pembinaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Zairil, pemasangan menara telekomunikasi itu dipertikaikan kerana mengikut laporan oleh fz.com pada 10 Mei lalu, Pengarah YTL, Yeoh Seok Hong memberitahu bahawa “menara yang dibina bukan sahaja menyediakan sambungan Internet tanpa wayar di sekolah, tetapi juga di kawasan sekitar.

Katanya, dalam erti kata lain, YTL dapat memanfaatkan menara itu untuk menawarkan perkhidmatan jalur lebar YES 4G mereka kepada masyarakat sekitar.

Awal minggu ini, beliau mendedahkan YTL Corporation Bhd dan anak syarikatnya diberi monopoli lumayan ke atas siri projek ICT oleh Kementerian Pendidikan yang kononnya bertujuan mendigitalkan keseluruhan sistem sekolah negara ini dengan menyediakan komputer riba kepada setiap pelajar, satu pelantar e-pembelajaran serta jalur lebar berkelajuan tinggi di setiap sekolah.

Tiga projek utama yang dianugerahkan kepada YTL adalah:

  1. Pemasangan jalur lebar 4G berkelajuan tinggi di bawah program 1BestariNet ke semua sekolah (RM663 juta bagi kontrak 2.5 tahun);

  2. Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) untuk guru-guru, pelajar dan ibu bapa (RM250.5 juta untuk yuran pelesenan bagi suatu jangka masa tetap dan RM262.8 juta bagi kos pengurusan dan penyelenggaraan); dan

  3. Pembekalan komputer riba Chromebook di bawah program “1 Student 1 Device” (RM139.6 juta untuk tempahan 116,399 unit permulaan pada kos RM1,200 setiap unit).

Selain itu, katanya beliau juga membangkitkan persoalan mengenai rasional penganugerahan monopoli penuh kepada YTL, memandangkan hakikatnya YTL bukan pakar dalam bidang pendidikan atau pengeluar atau pembekal perkakasan komputer.

“Malah, saya telah membentangkan bagaimana harga Chromebook yang dibekalkan YTL adalah lebih mahal berbanding harga pasaran runcit bagi unit yang sama, walaupun jumlah tempahan adalah begitu besar.

“Semalam, saya mempersoalkan keberkesanan pelantar VLE dan menunjukkan beberapa contoh di UK di mana projek VLE yang serupa tidak membuahkan hasil yang dikehendaki, khususnya guru tidak dapat melaksanakan sepenuhnya sistem dengan cara yang paling afdal.

“Ini menimbulkan persoalan samada guru sendiri dapat mengguna dan mengajar dengan VLE itu. Saya pasti, ramai yang masih mengingati bagaimana dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) gagal kerana guru tidak mempunyai kecekapan dalam bahasa Inggeris,” katanya.-Roketkini.com