Berita

Satu lagi tahanan mati, petunjuk untuk segera tubuhkan IPCMC

PETALING JAYA, 18 JULAI: Satu lagi kes tahanan mati dilaporkan di Batu Gajah, Perak, semalam adalah petunjuk supaya kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menangani perkara itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, kerajaan perlu mengambil iktibar dan menubuhkan IPCMC kerana Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dilihat ‘tidak beruapa dan bertaring’.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertindak di atas janjinya untuk melakukan transformasi kerajaan dan mereformasi ketidakadilan dalam sistem dengan menubuhkan IPCMC.

“Persoalan yang perlu ditanya sekarang sama ada pentadbiran Najib benar-benar kejam untuk melihat semakin ramai rakyat mati dalam tahanan dengan tidak melakukan sebarang tindakan drastik agar keadaan diperbetulkan.

“Rakyat juga tertanya-tanya apakah pihak berkuasa tidak kesal dengan kematian ini, di mana jelas terdapat bukti mangsa diseksa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes terbaru itu diketengahkan Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar apabila seorang tahanan berusia 27 tahun, Chew Siang Giap ditemui mati di Penjara Batu Gajah, awal pagi Selasa.

Bapanya yang dipanggil untuk mengenal pasti mayat di Hospital Batu Gajah mendapati kesan lebam di telinga, bahu dan paha mangsa.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa IPCMC adalah tidak berperlembagaan dan menganggap EAIC memadai untuk menyelesaikan kes penderaan oleh polis.

Bagaimanapun, Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menegaskan EAIC sememangnya tidak berkesan untuk menangani kes salah laku polis.

“Sejak 2011, tidak ada kematian dalam tahanan yang disiasat EAIC, ia sudah tentu dibantu oleh fakta bahawa kerajaan tidak pernah serius mengenai EAIC,” tegasnya. -Roketkini.com