Berita

Hak milik strata: Pulau Pinang selesai kerja ‘terbengkalai’ kerajaan BN

GEORGETOWN 19 JULAI: Beberapa kawasan perumahan utama di Pulau Pinang terus berhadapan dengan masalah yang ditinggalkan ketika diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN) terutamanya membabitkan status pengeluaran hak milik strata perumahan awam kos rendah.

Perkara itu jelas membuktikan kerajaan BN yang memerintah Pulau Pinang sebelum ini gagal dan tidak serius menyelesaikan masalah rakyat walaupun lama tertangguh.

Exco Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo, berkata kebanyakan projek perumahan itu sudah disiapkan sejak 1969 hingga 1995.

“Memandangkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang memerintah Pulau Pinang sejak 2008 sentiasa menasihati agar pemaju mematuhi peruntukan perundangan mengikut Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) harus ‘walk the talk’,” katanya dalam kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau secara berkala status pengeluaran hak milik strata projek perumahan awam kos rendah kerajaan negeri.

“Kami sudah mengadakan mesyuarat pertama pada 10 Julai lalu dan akan bermesyuarat dua bulan sekali untuk memantau perkara itu,” jelas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Datok Keramat, Pulau Pinang.

Antara projek perumahan kos rendah Kerajaan Negeri Pulau Pinang terbabit ialah  Rumah Pangsa Taman Free School, Rumah Pangsa Batu Lanchang, Rumah Pangsa Mak Mandin Lama, Rumah Pangsa Mak Mandin I, Rancangan Perumahan Taman Tun Sardon (peralihan), Rumah Pangsa Taman Tun Sardon Fasa I – Blok A-E, Rumah Pangsa Taman Tun Sardon Fasa II – Blok AA-AZ dan Rumah Pangsa Taman Tun Sardon III – Blok IIIA, IIIB dan IIIC.

Jagdeep juga menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penguatkuasaan pindaan kepada Akta Hak Milik Strata (Pindaan 2013) (Akta 1450).

“Inisiatif pindaan itu adalah berdasarkan pelaksanaan konsep baru pengeluaran hak milik strata dan milikan kosong (vacant possession) secara serentak.

“Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan dalam mempercepatkan proses permohonan dan pengeluaran hak milik strata bagi memastikan tuan tanah atau pemaju tidak dengan sengaja melengah-lengahkan masa dalam membuat permohonan hak milik strata,” jelas beliau.

Sehingga 15 Jun lalu, jumlah permohonan strata di Pulau Pinang mencecah 1,754 skim terdiri daripada 209,083 petak. Selain itu, terdapat 56 skim strata terdiri daripada 17,884 petak yang direkodkan sebagai masih gagal mengemukakan permohonan pecah bahagi bangunan atau strata di negeri itu.-Roketkini.com