Berita

DAP kecam sikap kerajaan dalam kes kematian dalam tahanan

PONTIAN, 21 JULAI: DAP menyelar sikap kerajaan yang membiarkan kematian dalam tahanan semakin menjadi-menjadi tanpa mengetengahkan sebarang langkah berkesan untuk mencegahnya.

ADUN DAP Pekan Nenas, Yeo Tung Siong berkata, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku di negara yang memegang demokrasi sebagai prinsip asas dalam Perlembagaan.

“Kami hairan dengan sikap kerajaan dan agensinya yang seolah-olah hanya mendiamkan diri tanpa melakukan tindakan atau langkah pencegahan berhubung kes kematian dalam tahanan.

“Lebih parah lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya berfungsi membanteras korupsi dilihat lebih korup hingga menyebabkan kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani.

“Kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana tahanan juga adalah manusia yang mempunyai hak untuk mendapat perlindungan termasuk dalam siasatan SPRM,” katanya ketika berucap pada ceramah Keadilan Untuk Beng Hock : Memorial Tragedi Teoh Beng Hock Tahun ke-4 di perkarangan Pusat Komuniti DAP Pontian, semalam.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan keadilan pasti akan datang untuk mangsa dan keluarga mangsa suatu hari nanti dengan individu yang terbabit bakal menerima hukuman setimpal di atas perilaku tidak berperikemanusiaan itu.

“Saya pasti kelak keadilan akan muncul juga, segala persoalan akan terjawap dan mereka yang terbabit serta bersalah tidak mungkin terlepas begitu saja,” ujarnya.

Turut hadir menyampaikan ceramah ialah Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching, ADUN DAP SKUDAI, Dr Boo Cheng Hau, ADUN DAP Sungai Pinang, Teng Chang Khim, Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAPSY Kebangsaan, Mahdzir Ibrahim, Ketua Cabang PKR Tanjung Piai, Dr Lee Boon Peng dan adik mendiang Beng Hock, Teoh Lee Lan.

Menyokong ucapan Tung Siong, Chang Kim menegaskan ketidakadilan tidak akan berlaku dalam negara yang hanya bertopengkan demokrasi namun tidak mengamalkannya seperti Malaysia di bawah kepimpinan UMNO/BN.

“Sebelum munculnya demokrasi yang sebenar dan peralihan kuasa akan adanya bermacam penindasan seperti yang berlaku ke atas saudara Beng Hock dan mangsa lain.

“Namun kita tidak boleh menyerah, kita harus bekerja kuat agar perubahan dapat dijayakan dan segala bentuk pencabulan hak asasi manusia dapat dibendung sekaligus memperkukuhkan perundangan negara,” tegasnya.

Mahdzir pula mendesak kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) agar salah guna kuasa dan kematian dalam tahanan tidak berterusan.

“Krisis integriti dan profesionalisme dalam pasukan keselamatan semakin kronik, IPCMC harus diterima dan ditubuhkan serta merta.

“Kami juga ingin tahu bagaimana Prosedur Operasi Standard (SOP) bekerja dan dijalankan hingga boleh menyebabkan kematian,” katanya. -Roketkini.com