Berita

Ibu tunggal, warga emas terima sumbangan Ramadhan PR Tanjong Piai

TANJONG PIAI, 22 JULAI: Kira-kira 50 ibu tunggal dan warga emas di Kukup, Johor semalam menerima bantuan daripada Pakatan Rakyat Tanjung Piai sempena Ramadhan.

Sumbangan berupa barangan keperluan harian seperti beras, kopi dan kurma itu disampaikan ADUN DAP Pekan Nenas, Yeo Tung Siong, Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAPSY Kebangsaan, Mahdzir Ibrahim dan Ketua Penerangan PAS Johor, Ghazali Ayub.

Rata-rata penerima berterima kasih kepada PR atas sumbangan itu yang sekaligus meringankan beban mereka dalam menempuh Ramadhan.

Hassan Ismail, 80, berkata, beliau gembira dengan bantuan itu sekurang-kurangnya dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan sepertinya menjelang Aidilfitri tidak berapa lama lagi.

“Saya gembira dan mengucap berbanyak terima kasih, hanya tuhan saja yang mampu membalasnya.

“Ini adalah pertama kali saya menerima sumbangan, selama ini saya tidak pernah mendapat sebarang bantuan terutama daripada kerajaan negeri sendiri, malah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga tidak pernah hadir menghulurkan bantuan,” kata bekas guru silat itu ketika ditemui di rumahnya.

Ibu tunggal, fakir miskin serta anak yatim turut diraikan pada majlis berbuka puasa di Medan Selera Prostar Kukup.

Pada majlis berbuka puasa itu, PR Tanjung Piau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 22 keluarga ibu tunggal dan warga miskin.

Mahdzir sebak dengan kedaifan hidup penduduk Kukup yang langsung tidak diambil peduli dan dihargai kerajaan yang memerintah.

“Sumbangan ikhlas yang tidak seberapa ini adalah tanda ingatan kami kepada masyarakat yang tidak berkemampuan, golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal dan warga emas.

“Saya juga terkilan dan sebak melihat mereka hidup dalam kedaifan serta serba kekurangan.

“Jadi kami di PR mengambil inisiatif membantu mereka seberapa yang boleh agar beban dan kesusahan yang ditanggung sedikit sebanyak dapat diringankan,” ujarnya.-Roketkini.com