Berita

DAP dedah hampir 50,000 pengundi miliki IC bermasalah pada PRU-13 lalu

OKm2KOTA KINABALU, 23 JULAI: Hampir 50,000 individu yang mempunyai kad pengenalan diklasifikasikan ‘bermasalah’ oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berada dalam daftar pemilih Sabah dan menjadi pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming berkata, seramai 49,159 pengundi dalam daftar pemilih di Sabah disenarai sebagai bermasalah dikemukakan sebagai bukti dalam keterangan oleh seorang saksi JPN kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menurut Kian Ming, jumlah itu mewakili 4.9 peratus daripada 1.6 juta pengundi Sabah dan sangat mencukupi untuk mengubah keputusan PRU-13.

“Jika diletakkan di tempat yang strategik, ia boleh memberi kesan kepada keputusan pilihan raya. Persempadanan semula juga dijangka berlaku pada akhir tahun ini dan lima peratus daripadanya boleh membawa kepada peningkatan sebanyak satu atau dua kerusi Parlimen atau tiga kerusi Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penolong Ketua JPN Bahagian IC, Ruslan Alias, Januari lalu menyatakan terdapat 130,549 nombor kad pengenalan lama dalam rekod mereka dianggap bermasalah kerana memiliki maklumat yang tidak lengkap.

Menurut Ruslan, semua IC dikategorikan sebagai P1 dan P2 berdasarkan bilangan nombor siri IC dan menandakan IC lama yang sudah dibatalkan sebagai P3.

Kian Ming menegaskan, lapan daripada 10 kawasan dengan bilangan terbesar pengundi terletak di pantai timur Sabah dengan jumlah Kalabakan mencatat jumlah tertinggi.

Pemegang IC P1 dan P2 di Kalabakan membentuk 13.4 peratus daripada jumlah pengundi, manakala yang paling kecil adalah Pensiangan dengan pemegang IC P1 dan P2 hanya 0.4 peratus daripada jumlah pengundi.

Katanya lagi, lebih separuh daripada pemegang IC P1 dan P2 ini didaftarkan sebagai pengundi pada 1990 hingga 2000.

“Malah, selepas berakhirnya Projek IC, 25 peratus daripada mereka masih didaftarkan sebagai pengundi 12.9 peratus didaftarkan selepas 2010,” ujarnya.

Beliau menggesa kerajaan BN mengambil tindakan serius berhubung bukti terkumpul dalam RCI yang membuktikan bahawa daftar pemilih ketika PRU-13, 5 Mei lalu dipenuhi pengundi IC bermasalah.

“Saya mendesak kerajaan BN untuk membersihkan daftar pemilih dengan menjalankan siasatan menyeluruh ke atas bukti yang kami nyatakan. Jika tidak ada langkah konkrit yang diambil, maka RCI tidak membawa sebarang makna dan pengundi di Sabah akan berterusan dipinggir.

“Akhirnya persempadanan semula yang sepatutnya bermula akhir tahun ini juga tidak boleh digunakan di Sabah kerana kecacatan jelas nyata berdasarkan begitu ramai pengundi dengan IC bermasalah,” tegasnya. -Roketkini.com