Berita

DAP desak Najib siasat kerugian berbilion ringgit Maybank

rajiv-bukit-gasing-tony-pua-02KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Maybank Berhad didakwa gagal mengembalikan rekod terbaiknya sebelum ini, sebaliknya mengalami kerugian berbilion ringgit sejak mengambilalih Bank International Indonesia (BII) pada 2008.

Berikutan itu, Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, Maybank dalam ‘senyap’ terpaksa melupuskan sejumlah 5,065,380,000 saham biasa dalam BII kepada pelabur pada 20 Jun lalu dengan nilai 355 Rupiah sesaham yang mana ia 21.9 peratus lebih rendah daripada kos pengambilalihan.

“Ini menjadikan sembilan peratus penjualan kepentingan negara akan segera diterjemahkan kepada anggaran kerugian direalisasikan sebanyak RM157 juta dan jika kehilangan ini diekstrapolasi, Maybank dijangka kerugian sebanyak RM1.74 bilion,” katanya mendedahkan perkara itu pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan, hari ini.

Beliau juga menyatakan Maybank telah ‘merenung kertas kerugian mengejut sebanyak RM2.5 bilion’ akibat pengambilalihan iaitu apabila saham BII ditutup pada 315 Rupiah atau turun 30.7 peratus daripada harga belian minggu lalu.

Pada 2008, Maybank perolehi BII pada kos RM8.25 bilion iaitu kira-kira 455 Rupiah sesaham dan ianya mendapat kecaman pengkritik kerana Maybank membayar lebih daripada empat kali ganda nilai aset BII.

Berdasarkan rekod Maybank sendiri, pada 31 Disember 2012, mengalami kemerosotan sebanyak RM1.62 billion dalam pengambilalihan.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, Maybank sejak pengambilalihan, pulangan ke atas pelaburan berada dalam keadaan sangat buruk iaitu 0,17% pada 2009, 1.86% (2010), 2.31% (2011) dan 6.27% (2012).

“Daripada pengumuman yang dibuat oleh Bursa Malaysia, Maybank mendakwa bahawa pelupusan itu tidak akan menyebabkan sebarang kesan kewangan yang ketara kepada mereka.

“Namun, kami memperoleh bukti yang bertentangan iaitu Maybank terpaksa menanggung kerugian berbilion ringgit,” katanya merujuk kepada pelupusan sembilan peratus sahamnya.

Beliau berkata, Maybank sekarang berada di bawah tekanan untuk menjual baki pegangan sahamnya dalam BII kerana peraturan pasaran saham Indonesia yang memerlukan sekurang-kurangnya 20 peratus saham BII sebagai ‘apungan bebas’.

“Ia ditetapkan pihak berkuasa Indonesia dan diterima Maybank apabila BII telah dimiliki pada 2008.

“Lebih banyak kerugian disedari apabila Maybank terpaksa menjual 8.3 peratus saham lain BII kepada pihak ketiga pada 31 Disember 2013, iaitu tarikh akhir tempoh lanjutan baru diberikan,” ujarnya.

Pua juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai Menteri Kewangan memandang serius masalah yang dihadapi Maybank.

“Kami meminta Najib secara peribadi memandang serius isu itu, samada punca kerugian disebabkan keputusan perniagaan yang buruk atau mungkin berlakunya salah guna kuasa.

“Mana-mana punca sekalipun, tindakan perlu diambil terhadap mereka yang didapati bersalah supaya kepentingan rakyat dalam Maybank akan dapat dilindungi,” tegasnya.

Pada 2008, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mempertahankan pengambilalihan dengan mendakwa bahawa kerajaan yakin pengurusan Maybank dan lembaga pengarah membuat pembelian bukan sahaja sebagai kepentingan terbaik untuk Maybank tetapi untuk negara.-Roketkini.com