Berita

DAP gesa kerajaan selesai masalah kemasukan pelajar ke universiti tempatan

Kulasegaran 1IPOH BARAT, 22 JULAI: DAP menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dwi parti pada matrikulasi dan pengambilan universiti awam untuk mengkaji dan mencadang penyelesaian kekal, adil dan praktikal bagi menyelesaikan masalah berpanjangan kegagalan pelajar mendapat tempat di pusat pengajian tinggi awam.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran menyifatkan kegagalan mendapat tempat di kolej matrikulasi dan pelajar cemerlang gagal memperoleh kursus pilihan menjadi masalah yang tidak ada penyelesaian sejak sekian lama.

“Masalah itu bukan sahaja menyebabkan pelajar dan ibu bapa sakit hati malah ia juga punca perpecahan antara masyarakat dan penghijrahan keluar bijak pandai yang akhirnya merugikan negara.

“Penjelasan kerajaan dalam isu ini juga tidak menyakinkan apabila memberi alasaan terlalu banyak pemohon sedangkan tempat yang disediakan terhad dan ada antaranya tidak mendapat tempat kerana pembabitan diri yang rendah dalam kokurikulum.

“Alasan ini tidak boleh diterima kerana terdapat bukti pelajar dengan skor yang lebih rendah dalam Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) dan aktiviti kurikulum tapi ditawarkan tempat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat turut menyelar kenyataan mengelirukan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam yang menyatakan ‘tidak semua orang yang memohon mendapat tempat dan masalah ini berlaku di seluruh dunia’.

“Saya ingin mengingatkan Subramaniam, kita sekarang bercakap mengenai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dengan CGPA 4.0 dan bukannya pelajar yang semata-mata memenuhi syarat minimum kemasukan.

“Bolehkah Kabinet memberitahu orang ramai, negara mana yang mengamalkan ketidakadilan seperti ini? Masalah ini berlaku banyak kali dan ia perlu diselesaikan segera dengan langkah yang berkesan serta efektif,” ujarnya.

Menurut Kulasegaran, isu pengambilan juga mendapat tentangan terbuka daripada pimpinan BN sendiri.

“Seorang pemimpin tertinggi MIC secara terbuka mendakwa pengambilan universiti awam tahun ini paling tidak adil dan berat sebelah dalam sejarah negara. Sebab itu kami perlu jawatankuasa itu kerana sudah terlalu banyak kritikan ketidakadilan mengenai kewujudan dua peperiksaan pra-univerisiti iaitu Matrikulasi dan STPM,” tegasnya.

Kulasegaran turut menyarankan kerajaan memansuhkan satu daripada antara STPM atau matrikulasi dengan mengetengahkan satu sistem sahaja untuk pra-universiti.

“Ramai pelajar STPM gagal mendapat tempat ke matrikulasi dan universiti awam. Ini berikutan pelajar matrikulasi dinilai berdasarkan aktiviti mereka pada tahun matrikulasi sahaja manakala pelajar STPM dinilai berdasarkan keseluruhan kehidupan sekolah menengah, secara tidak langsung sudah tentu pelajar matrikulasi mempunyai kelebihan.

“Untuk menjawab ketidakadilan itu, saya mencadangkan kerajaan sama ada menghapuskan STPM dan hanya Matrikulasi sebagai pemeriksaan pra universiti untuk semua pelajar atau menjalankan satu peperiksaan biasa sebagai syarat kemasukan untuk semua pelajar,” katanya. -Roketkini.com