Berita

Gesaan Rahim Noor supaya EO dikembalikan tidak perlu dilayan

Tony_walkabout2PETALING JAYA, 22 JULAI: Tindakan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Rahim Noor yang menyarankan supaya kerajaan mengembalikan undang-undang tahanan seperti Ordinan Darurat (EO) tidak perlu dilayan sama sekali.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, kenyataan Rahim yang mendakwa kelemahan peranan, kecekapan dan profesionalisme yang dihadapi polis akibat pemansuhan EO amat tidak munasabah.

“Polis hanya perlu menyusun semula pembahagian tugas dan meramaikan anggota untuk memerangi jenayah.

“Suruhanya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) juga perlu disegerakan penubuhannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam wawancara bersama media seliaan UMNO, Mingguan Malaysia baru-baru ini, Rahim mendakwa kuasa polis telah lumpuh sejak EO dimansuhkan pada 2011.

Pua yang juga Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara berkata, polis perlu berhenti daripada terus bergantung kepada undang-undang EO sebagai topeng untuk berselindung.

“Rahim perlu sedar mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan EO, ia kerana beliau benar-benar melihat bahawa polis perlu melatih diri sendiri untuk mencari bukti dalam masalah jenayah,” katanya.

Beliau turut menegaskan Rahim Noor sendiri adalah contoh terbaik mengapa undang-undang seperti EO tidak boleh dipulih dan diadakan semula.

“Insiden ‘Black Eye’ mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditahan pada 1998 adalah bukti mengapa Rahim tidak boleh dipercayai.

“Polis di bawah beliau mengambil tempoh cukup lama untuk membuat penafiaan berhubung penyalahgunaan kuasa mereka sendiri.

“Ini bukti jelas mengapa KPN tidak boleh dipercayai untuk menentukan siapa yang bersalah atau tidak bersalah sebelum seseorang didakwa di mahkamah. Anwar sendiri selepas itu dibebaskan daripada semua pertuduhan ke atasnya,” tegasnya. -Roketkini.com