Berita

LKIM perlu jelas kerugian projek MITP bernilai RM243.38 juta

cm guan engGEORGE TOWN, 23 JULAI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjelaskan kepada rakyat berhubung kerugian projek Malaysian International Tuna Port Sdn Bhd (MITP) bernilai RM243.38 juta di Batu Maung, Pulau Pinang.

Menurut beliau, sebagai projek usahasama dengan Bindforce Sdn Bhd  tidak mungkin ia tidak mengalami sebarang kerugian selepas ditamatkan.

Katanya, walaupun MITP diluluskan pada 2004, namun hanya dua bangunan kecil dibina di atas tanah seluas 25 ekar daripada perjanjian konsesi 32 tahun.

“Laporan Ketua Audit Negara 2009 juga menimbulkan persoalan berhubung usahasama swasta itu apabila kerajaan pula terpaksa menanggung kerugian akibat mengeluarkan surat sokongan ‘letter of undertaking’.

“Bindforce memegang ekuiti 60 peratus manakala baki ekuiti 40 peratus dipegang LKIM bernilai RM16.9 juta didakwa tidak dibayar dengan wang tetapi menerusi nilai tanah.

“Persoalannya kini, macam mana kerajaan Persekutuan tidak mengalami sebarang kerugian bila projek itu dibiayai MITP melalui pinjaman RM240 juta dalam bentuk bon daripada OSK Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad. Bon RM240 juta ini mendapat sokongan kerajaan Persekutuan, ini perlu dijelaskan,” soalnya dalam kenyataan, semalam.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan situasi itu sama dengan apa yang berlaku dalam skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

“Kini pembinaan MITP yang gagal dan dibatalkan hanya pada tahap 18.5%.

“OSK Investment Bhd yang keluarkan bon juga turut menuntut sejumlah RM208.62 juta termasuk faedah.

“Dengan memiliki ekuiti 40 peratus, adakah kerajaan terpaksa menanggung RM83.45 juta tuntutan OSK itu? Semua itu tidak dinyatakan dalam jawapan bertulis Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri di Dewan Rakyat, baru-baru ini,” ujarnya. – Roketkini.com