Sastera

Bahasa: Antara keadilan dan keindahan oleh Aishah

communicationBAGI saya, keindahan itu terletak pada kemanusiaan, iaitu perjuangan untuk kemanusiaan, pembebasan terhadap penindasan – jadi keindahan itu terletak pada kemurnian kemanusiaan bukan dalam mengkotak-katikan bahasa – inilah cara pikir budayawan besar Indonesia iaitu Pramoedya Ananta Toer.

Membahas soal bahasa bukanlah melawankan pandangan setiap sarjana terkemuka yang mungkin sudah punya pegangan masing-masing, perbahasan ini tidak lain hanya ingin menyemak tujuan kita berbahasa.

Sebagai sebuah karya seni yang mengambil jalur “politik adalah panglima” umumnya tulisan mestilah bergerak atas kenyataan sosial dan peristiwa politik nasional. Namun, dalam kerancakan penulisan dan penerbitan, tidak sedikit kita menemukan tulisan tahayul, hantu, dendam, berahi dan jika ‘ter’pelajar mereka ini akan memperolokkan pula agama dan keyakinan masyarakat yang tidak cukup “moden” dan “kolot”.

Bahasa semacam ini sudah dikritik lebih awal oleh A Samad Said dalam cerpennya Sasterawan Daiman Kereko dan Ahmad Zago. Bukanlah satu hal yang sulit untuk membezakan kepalsuan kelompok ini yang juga memakai nama “humanisme” di dadanya. Maxim Gorki antara yang mengkritik orang yang menggembar-gemburkan diri mereka dengan “kemerdekaan” dan “kebebasan” dengan bahasa yang muluk dan canggih.

Jadi akhirnya bahasa hanya tinggal sebagai yang enak didengar di cuping telinga – keindahan. Sama halnya dengan apa yang dilakukan Sutardji Calzoum Bachri – kata bukan alat untuk menyampaikan makna sebaliknya cuba bermain-main dengannya, mirip Beat dan penyair Eropah 60-an.

mephistophelesSelain terdapatnya nilai kepedihan yang begitu dominan dalam bahasa yang dipakainya. Rasa pesimis yang mungkin lanjutan Mochtar Lubis dan pengarang LEKRA lain pada suatu ketika sebelum khalayak dibuaikan dengan Layar Terkembang. Bagaimanapun juga tidak mungkin adanya kebahagiaan seperti didagangkan Mephitopheles! Bahasa seharusnya melahirkan kegelisahan kerana bersamanya hadir tanggungjawab akan keadilan dan kemanusiaan – bukan semata hiburan di masa senggang.

Tidak dinafikan bahasa mempunyai rima (yang menurut Gorki hanya kepuraan!) dan prosa tertentu namun nilai keadilan tidak harus dijadikan sebagai pampasan. Kerana keagungan terletak pada isinya. Bahasa tidak tinggal diam dalam kertas kumal. Sebaliknya, ia bahagian yang tidak dapat diceraikan daripada penghidupan sesuatu bangsa dan gambar tinggi rendah darjat semangat sesuatu bangsa; setidaknya menurut Armijn Pane.

Darjat dan bangsa tidak menjadi tinggi dengan seorang cikgu mengutip petikan untuk dihafal dirinya sendiri atau murid. Tetapi sejauh mana mereka mampu belajar daripada petikan itu selain hanya mengulang di twitter dan facebook.  Mungkin petikan apapun begitu memikat sehingga melebihi tujuan berbahasa itu tadi iaitu melaksanakan keadilan bukan hanya melaungkan semboyannya.

Gadamer benar bahawa manusia moden sukar untuk mendengarkan orang lain. Kita cenderung bersikap narsistik. Misalnya di tren dari Sungai Gadot ke Rawang – “Kami mendengar” itu bermaksud “Anda harus mendengar”, betapa pemerintah sangat prihatin (sehingga membelanjakan jutaan ringgit SAHAJA untuk konsert K-POP, pewarna makanan demi RAKYAT). Dan rakyat harus merasa bersalah kerana telah “mengakibatkan kerajaan kerugian berbilion ringgit dengan membeli rokok seludup”- lapor berita TV3.

propaMengambil kes rokok seludup, bagaimana jika ia dibaca “kerajaan tidak dapat mencari untung”, pastilah ia meninggalkan konotasi negatif yang tidak memihak kepada kebajikan rakyat. Kata “rakyat” dan “kerugian” amat sinonim dengan kelas bawahan dan dilacurkan untuk kepentingan elit politik.

Dalam hal ini, pasti antara kita pernah membeli keropok Ring 20 sen, kotak JoJo, Ding Dang yang tertera “sekadar ilustrasi”, “untuk tujuan komersil”, “picture shown may vary from actual product” – ini adalah ayat yang dikecilkan dan sering diremehkan ramai orang kerana kita memilih keindahan imej. Tetapi adakah isinya berlaku adil dengan apa yang dibayangkan pengguna? Sekali lagi kita dikecewakan. Dengan logik yang sama juga pemerintah akan memasarkan diri. Dan rakyat boleh memilih untuk melihat keindahan atau mendapatkan keadilan. Kerana keindahan tidak menjamin keadilan dapat berlangsung – sepertimana Faust dalam karyanya Goethe yang ingin mendapat kebahagiaan sehingga menggadaikan dirinya kepada syaitan, Mephistopheles.-Roketkini.com