Berita

DAP kecam amalan politik kotor UMNO/BN

TonyPua_walkaboutKUALA LUMPUR, 26 JULAI: DAP mengecam amalan politik kotor UMNO/BN yang sering melontarkan fitnah tidak berasas kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam usaha untuk mengekalkan kuasa.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, taktik kotor yang sudah sebati dengan UMNO/BN terus dimainkan dan yang terbaru pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, baru-baru ini.

“Penduduk luar bandar seperti Kuala Besut sememangnya sudah mengetahui politik kotor BN yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa dan memperkayakan kroni namun tetap memilih mereka kerana terpedaya dengan dakyah bahawa memberi mandat kepada PAS bererti memberi peluang DAP untuk menubuhkan negara republik.

“Namun, DAP harus berusaha menjelaskan kepada rakyat bahawa politik kotor kononnya orang Melayu akan kehilangan kuasa sememangnya tidak benar dan hanya fitnah bertujuan menakut-nakutkan orang Melayu semata,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran Roketkini.com, di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara turut menyelar sikap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mengamalkan kronisme dalam kepimpinannya.

“Isu pokok sebenarnya adalah Ahmad sendiri mengakui secara terbuka beliau mengamalkan kronisme daripada segi pemberian projek kerajaan negeri.

“Begitu juga dengan pengagihan tanah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN di Terengganu dengan mendapat lokasi tanah yang baik di tepi pantai secara percuma kononnya kerana sumbangan ADUN BN. Apakah penduduk dan wakil rakyat lain di Terengganu tidak memberi sebarang sumbangan,” sindirnya.

PAS sebelum ini membangkitkan isu tanah di Kuala Besut termasuk unit pangsapuri di Kampung Lay Out, Tok Saboh yang BN dirampas daripada penduduk.

PAS turut mempertikai pemberian tanah kepada empat ADUN Terengganu malah turut mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah PRK BN Kuala Besut menarik balik tanah berkenaan. -Roketkini.com