Berita

Masalah air Johor berlarutan, DAP tuntut janji Perdana Menteri

LCTKUALA LUMPUR, 25 JULAI: Penduduk Kluang terus dihantui masalah bekalan air apabila status projek Empangan Kahang, Kluang yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih dua tahun lalu masih belum menjadi kenyataan.

Empangan itu amat penting kepada penduduk bagi mengelak dikenakan catuan air setiap kali paras air Empangan Sembrong Barat surut akibat musim kemarau.

“Empangan Kahang adalah infrastruktur untuk menyelesaikan masalah kekurangan air di kawasan sekitar Kluang dalam jangka panjang jika dibina dengan betul,” kata Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama beliau turut membangkitkan isu bekalan air negeri Johor yang terus dihantui pembaziran tertinggi kadar Air Tanpa Hasil (NRW) sebanyak 35 peratus di bawah pengurusan syarikat swasta, Syarikat Air Johor Bhd.

“Tidak ada gunanya ratusan juta wang kerajaan dihabiskan untuk membina empangan besar tetapi pengguna terus dihantui masalah air terawat akibat kebocoran atau kecurian,” katanya.

Pada 26 Mac 2011 lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM105 juta untuk pelaksanaan projek itu bagi menyelesaikan masalah kekurangan air di Kluang.

Chin Tong berkata, rakyat di Kluang sendiri tidak diberitahu mengenai perkembangan terkini projek itu walaupun mereka hidup menderita kerana ketiadaan air setiap kali musim kemarau.

“Sebagai Ahli Parlimen Kluang, saya sudah membangkitkan perkara itu di Parlimen, khususnya bila empangan itu akan siap dibina, kos yang dibiayai kerajaan negeri dan Persekutuan dan samada Kajian Kesan Alam Sekeliling (EIA) dijalankan,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan itu juga mengingatkan Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan supaya mengambil kira faktor berikut dalam pembinaan Empangan Kahang antaranya:

1. Aktiviti pembalakan, pertanian dan pemberian milikan tanah dalam kawasan tadahan air Empangan Kahang, jika ada, ia harus dibekukan dan diberhentikan sehingga laporan DEIA diluluskan.

2. Kedudukan empangan ini adalah berdekatan dengan FELDA Kahang Timur dan mungkin berdekatan dengan kawasan Orang Asli. Pihak berkuasa wajar mengambil langkah proaktif berunding dengan pihak terbabit mengenai projek empangan itu.  Rundingan awam perlu dilaksanakan sebelum projek diluluskan.

3. Takungan reservoir Empangan Kahang akan menenggelami sebahagian kawasan hutan simpan mergastua Endau – Kota Tinggi yang kaya dengan nilai biodiversiti. Kajian DEIA harus dinilai dengan pelbagai sudut dan pandangan profesional daripada NGO alam sekitar harus dipertimbangkan.

4. Terpenting, orang awam perlu dimaklumkan dengan maklumat terperinci dan perkembangkan terkini projek.  Sekurang-kurangnya maklumat mengenai projek itu perlu disiarkan untuk pengetahuan umum di Kluang dan Kahang.

“Pandangan dan pemantauan orang awam perlu diberi perhatian sebagai sebahagian projek ini memandangkan ia memakan kos ratusan juta wang rakyat dan kehidupan seharian rakyat akan dipengaruhi cara projek ini dilaksanakan,” katanya.-Roketkini.com