Berita

Guan Eng nafi janji siasat dakwaan doktor amal perkauman

1074636_681184625232324_464111896_oGEORGE TOWN, 28 JULAI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan beliau pernah berjanji secara lisan atau bertulis untuk menyiasat dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin bahawa tiga doktor Cina di hospital kerajaan di Pulau Pinang mengamalkan perkauman apabila menolak untuk merawat pesakit Melayu.

Beliau berkata, dakwaan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya itu mengejutkan kerana jelas tidak benar sama sekali pernah berjanji kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat.

Hilmi dalam kenyataannya kepada Bernama bahawa Kementerian Kesihatan masih menunggu laporan siasatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkenaan dakwaan itu sebagaimana yang dijanjikan secara lisan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Menurut Hilmi, Kementerian Kesihatan hanya akan membuat keputusan berkenaan tindakan lanjut selepas menerima laporan daripada kerajaan negeri.

Guan Eng berkata, jika itulah kenyataan, Hilmi jelas tidak layak menjadi Timbalan Menteri Kesihatan jika tidak tahu semua hospital kerajaan adalah di bawah bidang kuasa dan pengawasan Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Persekutuan, bukannya kerajaan negeri.

“Atas alasan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjemput Hilmi ke pejabat saya di Komtar pada Rabu, 31 Julai ini untuk menyerahkan bukti bahawa saya bersetuju secara lisan bagi menyiasat dakwaan Roslan itu.

“Saya juga menulis surat kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dua minggu lalu untuk meminta beliau mengesahkan dakwaan serius yang dibuat Roslan di dalam Dewan Negeri Pulau Pinang pada 3 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan media di Komtar.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, jika benar, maka tindakan perlu diambil terhadap doktor terbabit tetapi jika tidak benar maka Roslan mesti memohon maaf secara terbuka kerana membuat tuduhan tidak berasas yang merosakkan reputasi dan imej semua doktor di Malaysia.

Menurutnya, jelas Hilmi cuba melarikan diri dan mengelak daripada tanggungjawab serta melepaskan kepada kerajaan negeri dengan berhelah bahawa tiada tindakan akan diambil sehingga kerajaan negeri menghantar laporan kepada Kementerian Kesihatan.

“Bagaimana mungkin Kerajaan Negeri menghantar laporan jika tiada janji dibuat secara lisan dan apatah lagi kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat ke atas doktor di hospital kerajaan.

“Adakah ini jalan keluar untuk Kementerian Kesihatan tidak menyiasat dakwaan palsu bahawa tiada laporan diterima daripada kerajaan negeri,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Guan Eng, kerajaan negeri bersedia menjalankan siasatan jika Hilmi sanggup menyerahkan kuasa penuh hospital kerajaan di Pulau Pinang kepada kerajaan negeri.-Roketkini.com