Berita

Kekurangan bekalan diesel bimbangkan pengguna

20130726_170737KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Tindakan sesetengah stesen minyak di Lembah Klang yang menghadkan penjualan diesel kepada RM30.00 untuk setiap kenderaan menimbulkan rasa cemas di kalangan pengguna negara ini.

Malah, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, situasi kritikal kekurangan bahan api itu mula berlaku sejak 26 Julai lalu apabila mendapati 70 peratus kuota diesel di beberapa daerah lain juga telah habis.

Katanya, semua 70 peratus daripada stesen minyak di daerah Gombak, Bentong, Raub, Cameron, Jerantut, Mentakab-Temerloh didapati meletakkan notis “Kuota bulan ini sudah habis” merujuk kepada kehabisan stok diesel.

Tengku Zulpuri selaku Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang itu, berkata aduan terhadap perkara itu turut ditimbulkan pengguna sendiri.

“Ia menimbulkan banyak rungutan daripada pengguna terdiri daripada pemandu lori dan kenderaan yang menggunakan diesel.

“Daripada perkara ini, persoalan yang timbul ialah mengapa ia boleh berlaku sedangkan Malaysia merupakan sebuah negara pengeluar bahan api dunia?,” soalnya.

Menarik perhatian ramai, ‘polemik’ kehabisan bahan api itu juga kata Tengku Zulpuri sering sahaja berlaku ketika musim perayaan seiring dengan kenaikan melampau harga keperluan makanan seperti ayam di pasaran.

“Adakah perkara itu akan terus berlarutan sehingga menyebabkan harga perkhidmatan pengangkutan dan barang keperluan lain seperti gula dan sebagainya juga akan meningkat,” kata beliau lagi.

Katanya, jika pihak berkuasa tidak bertindak segera, ia sudah pasti akan menjejaskan pendapatan syarikat pengangkutan serta pemandu.

“Kekurangan diesel juga bakal memberi kesan kepada mereka yang akan bercuti dan menyambut Aidifitri.

“Sudah tentu, perkara itu bukan sekadar memberi gambaran negatif rakyat tetapi mencerminkan kegagalan kerajaan dan agensi penguatkuasaan mengurus dan mengawal selia kerperluan negara,” ujar beliau yamg juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang.-Roketkini.com