Rencana

Memanfaat Ramadhan Al-Mubarak oleh Aliff Fikri

1072110_681184115232375_1323709980_oBULAN mulia untuk umat Islam di seluruh dunia iaitu Ramadhan Al-Mubarak datang lagi. Umat Islam akan memasuki dunia kehidupan lain selama sebulan demi untuk memanfaatkan Ramadhan dengan inisiatif mencegah, mengelak dan menahan diri daripada perkara yang boleh membatalkannya.

Ramadhan bukan semata-mata menahan diri daripada lapar dan dahaga, Ramadhan adalah perihal nafsu, nafsu adalah bingkai kemanusiaan daripada manusia itu sendiri tapi nafsu yang tidak dikawal akan menjerumuskan manusia ke jurang barbarik (hina).

Nafsu makan, minum dan seksual seringkali menjadi kekangan yang paling mendasar untuk dibicarakan setiap kali Ramadhan menjengah. Benar bahawa perang terhadap hawa nafsu sangat penting agar manusia mencapai darjat kemanusiaan yang paling ‘Qualitative’, sayangnya kita sering terlupa betapa pentingnya untuk membicarakan perihal nafsu bernama kekuasaan.

Jika dilihat daripada kerangka dasar al-Quran tentang sisi kehidupan manusia, surah Al-Imran ayat 3:14 merumuskan mengenai kekuasaan yang barangkali amat sesuai untuk dikaitkan dengan Ramadhan.

‘Dihiaskan (dan dijadikan dengan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun, daripada emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda dan terlatih; dan binatang ternakan serta kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), hanya di sisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)’.

Di sini memang kekuasaan politik tidak dibahas secara jelas, namun jika kita melihat dalam konteks kehidupan manusia sepanjang sejarah peradaban, kecintaan terhadap apa yang disebut dalam surah Al-Imran di atas adalah perkara yang paling mudah dilakukan mereka yang memiliki kuasa.

Hidup bergelumang harta dengan segala kemudahan dan fasiliti membuat manusia semakin galak mengejar kesenangan. Berbuah daripada kesenangan ini muncullah gelora syahwat yang jika tidak dikawal akan mengakibatkan mereka lupa tujuan daripada kekuasaan politik itu sendiri.

Kekuasaan adalah sarana strategi untuk memperoleh kekuatan ekonomi, kerana itu tidak jarang kita melihat mereka ini turun padang tatkala pilihan raya hampir tiba, menggelupur meronta-ronta meraih sokongan demi sebuah kekuasaan, ini jelas terlihat daripada kalangan puak parti dacing kebangsaan. Namun amat menyedihkan apabila pelaku politik ini kemudiannya tidak bahawa apa yang dipikulnya itu adalah amanat berat yang memiliki tanggungjawab besar kepada manusia lainnya.

Demi kekuasaan, praktik suap-menyuap, jual beli sudah menjadi barang lumrah dan seolah-olah halal untuk terus dilakukan.

Pada dasarnya, kekuasaan adalah cara yang paling strategik menuju ketakwaan, sebagaimana ibadah puasa. Kekuasaan itu sendiri bukanlah hal yang bertentangan dengan kemanusiaan. Pakar Psikologi Amerika, David McClelland pernah mengungkapkan dalam bukunya ‘The Achieving Society’ bahawa manusia memiliki tiga hasrat sosial yang tertanam dalam diri iaitu hasrat berprestasi, mendapat kasih sayang dan kekuasaan.

Dengan kekuasaan, perbuatan baik mudah dilakukan dan manfaatnya boleh dirasakan ramai orang. Tapi harus diingat kekuasaan itu umpama pisau tajam dan ia sepenuhnya bergantung kepada orang yang memegangnya. Di tangan orang baik, pisau mungkin digunakan untuk mendukung aktiviti ‘rumah tangga’ politik yang baik, tapi kalau dipegang orang yang salah ianya dengan mudah digunakan untuk melukai dan membunuh sesiapa saja.

Memegang pisau dalam keadaan fikiran tenang berbeza dengan dalam kondisi amarah, apatah lagi memang memegangnya atas tujuan kepentingan kejahatan (memperkaya diri dan dua tiga kerat suku sakat misalnya) pasti akan membuatkan pisau itu ‘melukai’ orang lain.

Kekuasaan yang seharusnya menjadikan seseorang itu kepada sosok satria memperjuangkan nasib semua orang boleh berubah kepada watak jahat ibarat Ravana dalam kisah epik Hindu Ramayana. Ravana adalah simbol daripada sang nafsu yang menginginkan segala kemahuannya tercapai, demi tujuan itu segala cara dihalalkan.

Oleh itu, berpuasa daripada kuasa merupakan jalan terbaik yang harus dilakukan. Tetapi maksud saya di sini bukan menyeru agar mereka yang sedang berkuasa mundur daripada kekuasaan dan yang sedang mencari kekuasaan mengurungkan niatnya. Puasa kuasa di sini maksudnya adalah bagaimana mengembalikan pemaknaan kekuasaan sebagai bentuk aktiviti kegiatan sosial sesuai dengan garis dasarnya untuk memakmur dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Kekuasaan, baik dalam ranah politik demokrasi atau kekuasaan dalam tingkat keagamaan, sosial hingga organisasi yang paling kecil sekalipun mampu memberi manfaat dan juga mampu memberi mudarat jika tidak dijalankan melalui cara yang sepatutnya. Kerana itu puasa kuasa menjadi penting untuk kita renungkan dalam rangka memaknai Ramadhan kali ini. Selamat berpuasa kepada yang ingin dan mahu berpuasa, jalanilah ibadat anda sebaik-baiknya, ingatlah pesan Milan Kundera dalam ‘The Book of Laughter and Forgetting’ bahawa: ‘The struggle of man against power is the struggle of memory against forgetting’. -Roketkini