Berita

DAP kutuk pembunuhan di Mesir, desak Malaysia nyata pendirian

Mideast EgyptKUALA LUMPUR, 29 JULAI: DAP mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Mesir dan menggesa Kerajaan Malaysia menyemak semula pendirian terhadap negara itu.

Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan, V Sivakumar dan Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama berhubung tragedi berdarah yang berlaku hujung minggu lalu berkata, DAP membidas tindakan tentera Mesir yang bertindak membunuh beratusan penyokong bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi.

“Kami juga meminta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menasihati Kerajaan Malaysia untuk menyemak semula pendirian terhadap Mesir,” katanya.

Mereka berkata, gesaan ini dibuat kerana sehingga saat ini Kementerian Luar mengambil keputusan untuk tidak campur tangan dalam “hal ehwal dalaman” negara Mesir.

liew-chin-tong-at-final-rally“Dasar ‘tidak menjaga tepi kain orang’ itu sudah ketinggalan zaman, terutama dalam keadaan sedemikian di mana dunia Islam menunggu Malaysia menyatakan pendiriannya.

“Jika Malaysia tidak bersuara untuk kebenaran, keamanan, hak asasi manusia dan demokrasi di dunia Islam, negara mana lagi yang akan bersuara,” soalnya.

Setakat ini jumlah kematian yang dilaporkan daripada pertempuran di Kaherah telah mencecah 120 pada Ahad lalu.

Lebih daripada 200 penyokong Ikhwan Muslimin terbunuh sejak Presiden Morsi digullingkan dalam rampasan kuasa pada 3 Julai lalu.

“Keadaan genting itu memerlukan perhatian dan tindakan dunia. Sebagai pemimpin dunia yang bertanggungjawab, Malaysia mesti menyemak semula pendirian kerajaan terhadap Mesir,” kata Ahli Parlimen Batu Gajah dan Kluang itu.

sivakumarSehubungan itu, DAP menuntut agar kerajaan Malaysia menyatakan pendirian dan membidas secara terbuka rampasan kuasa menggulingkan kerajaan Presiden Morsi yang dipilih secara demokratik dan membidas pembunuhan berama-ramai penyokong Morsi dan rakyat Mesir.

“Kegagalan Malaysia untuk mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan dan tidak demokratik itu hanya akan mengecewakan bukan sahaja rakyat Malaysia malah masyarakat antarabangsa yang pernah memuji Malaysia kerana memainkan peranan kepimpinan dalam dunia Islam dan dunia ketiga,” ujar mereka lagi.-Roketkini.com