Berita

Guan Eng: ancam sekat internet, cubaan jahat BN kekalkan kuasa

lge watikahGEORGE TOWN, 29 JULAI: DAP menentang keras langkah BN untuk menyekat penggunaan internet yang dilihat sebagai cubaan mengekang kebebasan maklumat demi mengekalkan kuasa.

Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mendakwa penyalahgunaan internet berada pada tahap kritikal di Malaysia akibat terlampau diberi kebebasan dan tidak teragak-agak untuk menyemak semula kemudahan akses internet adalah tindakan terdesak untuk mengekalkan status quo.

Beliau menegaskan, tindakan itu juga bertentangan dengan Undang-Undang Siber dan Koridor Raya Multimedia yang menjamin tidak akan ada penapisan internet.

“Bagaimana pengharaman internet boleh membantu untuk mengelak kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada fitnah internet seperti yang dinyatakan Ahmad Shabery, terutamanya apabila terdapat ‘double standard’ dengan hanya menghukum orang yang menentang BN tetapi apabila pimpinan PR mengalami nasib yang sama dituduh sebagai fitnah.

“Ini jelas menunjukkan BN tidak memahami kemahuan rakyat yang sentiasa menginginkan kebenaran, kebebasan dan pencarian ilmu tanpa ditapis oleh propaganda, perkauman dan ideologi pelampau,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan, menyifatkan langkah ke arah menyekat internet dan media sosial oleh BN itu tiada bezanya daripada kerajaan yang bercorak diktator autokratik.

“BN melihat internet sebagai satu ancaman kerana kebebasan dan kebenaran dalam internet membenarkan pembohongan, benci dan takut akan cepat terdedah.

“Sebagai contoh, BN sebelum ini memfitnah dengan mendakwa anak lelaki saya mencabul rakan perempuan sekelasnya, namun pembohongan berniat jahat itu berjaya didedahkan melalui internet, kita dapati beliau adalah juara catur Hong Kong yang tidak pernah ke Pulau Pinang, tidak pernah bertemu dengan saya atau anak saya.

“Adakah ini sebenarnya yang menakutkan BN?, takut pembohongan, kebencian dan rasuah mereka didedahkan dengan kebebasan internet?,” ujarnya.-Roketkini.com