Berita

Kes tembak Pengerusi MyWatch: DAP gesa KPN siasat secara menyeluruh

charles santiagoKLANG, 29 JULAI: DAP menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyiasat secara menyeluruh kes tembakan ala mafia terhadap Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan, baru-baru ini.

Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago berkata, siasatan itu perlu dilakukan secara telus terutama apabila Sanjeevan dalam akaun Twitternya menulis bahawa polis merekrut anggota sindiket untuk melepaskan tembakan ke rumahnya.

“KPN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menyiasat jika tembakan itu berkaitan dengan pendedahan Sanjeevan berhubung amalan rasuah dalam PDRM dan tidak hanya menutup telinga mengenainya.

“Apa yang berlaku terhadap Sanjeevan adalah rentetan kepada kejadian sama yang berlaku ke atas Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim, April lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Charles, peningkatan kes jenayah yang semakin berleluasa ini membuktikan kegagalan kerajaan meningkatkan institusi awam untuk memastikan kedaulatan undang-undang dan keselamatan rakyat.

“Jika Sanjeevan dan Shaharuddin boleh ditembak dengan mudah pada siang hari, apa lagi yang penjenayah tidak berani lakukan.

“Keengganan kerajaan memenuhi saranan rakyat agar institusi utama seperti PDRM, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan kehakiman direformasi merupakan punca utama ianya semakin menjadi-jadi,” ujarnya.

Sanjeevan dan MyWatch beberapa bulan lalu mendedahkan pembabitan pegawai polis berpangkat tinggi dalam aktiviti jenayah dan mempunyai hubungan langsung dengan penjenayah dalam penggubahan wang haram, pelacuran, mengatur perlawanan bola sepak malah turut mempunyai hubungan dengan pemimpin kongsi gelap.-Roketkini.com