Berita

Muhyiddin, MIC terus tipu masyarakat India

v sivakumarBATU GAJAH, 29 JULAI: Rakyat Malaysia terus dibohongi terang-terangan oleh Menteri Pendidikan,Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung jumlah kemasukan pelajar India ke program matrikulasi setelah Bendahari Agung MIC, Jaspal Singh sendiri mendedahkan bahawa hanya 1,142 tempat diberi berbanding janji kerajaan iaitu 1,500 tempat pada 2012.

Tambah memalukan apabila Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan pula hanya menjadi ‘Pak Angguk’ dan menyokong kenyataan yang dibuat Muhyiddin di Parlimen.

Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar berkata demikian sebagai mengulas jawapan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat pada 27 Jun lalu.

“Muhyiddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa 1,500 tempat matrikulasi telah diberi kepada pelajar India pada 2012 manakala sebanyak 1,850 tempat pula pada tahun ini. Ini adalah satu penipuan besar dan merupakan penghinaan kepada Dewan yang mulia itu.

“Kamalanathan juga telah beberapa kali membuat kenyataan media bahawa kerajaan telah menepati janji dan tidak menipu masyarakat India. Tetapi sebenarnya beliau bersekongkol dengan pemimpin UMNO untuk menipu masyarakat India.

“Beliau tidak layak memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan kerana sanggup menipu kaum sendiri dan rakyat Malaysia umumnya demi kepentingan politik dan kedudukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sivakumar yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak berkata, menurut kajian yang dibuat sebuah NGO, Malaysian Indian Education Transformation Association (MIETA), hanya seramai 862 pelajar India ditempatkan di 13 pusat matrikulasi seluruh Malaysia tahun ini.

“Statistik yang diberi MIETA adalah lebih jitu kerana diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai. Jika pihak Kementerian Pendidikan mahu menafikan kejituan angka itu, maka mereka perlu mendedahkan senarai nama pelajar India yang diberi tempat mengikut pusat matrikulasi.

“Bagaimanapun Kamalanathan tidak berani untuk berbuat demikian dan memberi alasan yang tidak munasabah.

“Selagi senarai itu tidak dipamerkan kepada umum, kerajaaan dan MIC tidak boleh membersihkan diri daripada tuduhan menipu masyarakat India dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” ujar beliau.-Roketkini.com