Rencana

Semangat “PADI” jadi pegangan perjuangan DAP Sabah Oleh Jimmy Wong Sze Phin (Suntingan Hafiz Zainuddin)

batu sumpah - 1MALAYSIA terbentuk dengan kesepakatan negeri iaitu Borneo Utara yang kini Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963. Sudah tentu, kesepakatan itu menjadikan wilayah Malaysia menapak menyeberangi Laut China Selatan membentuk sebuah negara yang lebih besar dan padu. Penyatuan itu bermakna, Malaysia mempunyai lebih ramai rakyat daripada pelbagai latar suku kaum dan puak.

Kemajmukan budaya, agama, bahasa, cara hidup dan potensi ekonomi memberi makna yang sangat besar membentuk identiti sebuah negara bangsa dalam mencapai status negara maju.

Kemakmuran ekonomi yang dicapai Malaysia adalah hasil titik peluh rakyat daripada masyarakat yang bertani, berladang, nelayan yang turun ke laut, buruh yang bekerja dalam sektor perindustrian, pentadbiran serta sektor lain.

Sudah tentu, tanpa kekuatan limpahan sumber asli, Malaysia tidak mampu untuk mensasarkan matlamat negara maju menyaingi negara lain seperti negara jiran Thailand, Indonesia, Filipina atau Singapura.

Sumbangan besar Borneo kepada Malaysia

Sarawak dan Sabah, walaupun berada di seberang laut, ia tidak kurang memberi sumbangan yang besar kepada kemakmuran Malaysia dengan limpahan anugerah hasil sumber asli seperti minyak dan hutan. Bagaimanapun, perkara yang sangat jelas dilihat, negeri di kepulauan Borneo itu khususnya Sabah masih terkebelakang berbanding negeri lain di Semenanjung.

Walaupun setiap tahun kerajaan akan memberi peruntukan belanjawan kepada setiap negeri, kami hairan, bagaimana Sabah tetap terus terkebelakang sedangkan menjadi antara penyumbang utama kepada negara dalam sektor sumber asli dan pelancongan yang besar.

Oleh sebab itu, dalam perjuangan rakyat dan perjuangan DAP, kami perlu bertekad untuk berjuang memberi sumbangan dalam membentuk negeri dan Malaysia yang kami idam-idamkan selama ini iaitu sebuah negara yang adil saksama, bebas dalam lunas perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen.

jimmy wongSebagai ketua pemimpin DAP Sabah, saya mengajak kita bergandingan tangan bersama-sama menuju ke masa hadapan yang cemerlang. Persoalan di sini adalah perjalanan yang bagaimana yang benar-benar menjamin masa depan yang cemerlang.

Di sini, saya ingin mencadangkan empat tonggak penting yang harus kita ingati dan laksanakan bersama agar matlamat kami tercapai.

Empat perkara itu saya cantumkan dalam satu perkataan  iaitu “PADI”. Nama yang sangat cocok dengan Sabah yang menyambut pesta menuainya setiap tahun.

Pertama sekali adalah perjuangan

Tanpa perjuangan yang murni, perjalanan kami tidak akan ke mana. Perjuangan DAP tetap sama iaitu agar semua rakyat Malaysia boleh mengorak langkah ke arah pembangunan, demokrasi dan ekonomi yang seiring, bebas tanpa penindasan, kesaksamaan peluang diutamakan, kedaulatan undang-undang demi keadilan sosial, penjanaan kekayaan diiringi pengagihan secara saksama serta kemakmuran ekonomi tanpa rasuah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, kami di Sabah berjaya menuai hasil cemerlang di mana berjaya memperoleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua Ahli Parlimen. Pencapaian itu adalah yang terbaik berbanding keputusan PRU sebelumnya.

Kedua adalah anjakan paradigma

Untuk DAP Sabah maju dan memiliki masa depan yang cemerlang, satu perubahan minda dan fokus harus dilakukan. Pada tahun yang lalu, DAP hanya memiliki kekuatan dan pengaruh di bahagian bandar dan kawasan separa bandar.

Sudah tiba masanya untuk kita beralih tumpuan ke kawasan luar bandar iaitu kampung serta memberi keyakinan semua kaum dan suku dalam negeri ini samada Kadazan, Dusun, Murut, Melayu, Bugis, Bajau dan sebagainya, tanpa mengira apa juga agama supaya menyertai perjuangan ini.

DAP bukan parti untuk satu kaum. Dengan adanya sokongan daripada semua bangsa di negeri ini, masa depan DAP Sabah akan lebih cemerlang.

Ketiga adalah disiplin yang tinggi.

sabahflagUntuk DAP Sabah  maju ke hadapan, pemimpin dan ahli DAP Sabah seharusnya memiliki disiplin yang tinggi. Selain memiliki nilai moral yang tinggi seperti solidariti, rajin, bertanggungjawab, punya semangat kesukarelawan, kita juga mesti menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat di sekeliling. Perjuangan DAP bukan perjuangan untuk pilihan raya semata-mata. Selagi wujudnya penindasan, rasuah dan penyelewengan, selagi itu kami akan terus berjuang.

Keempat adalah inspirasi untuk berhasil dan menang

DAP Sabah harus terus menerus mencari dan mendapatkan inspirasi daripada pemimpin yang telah berjaya dan menunjukkan bukti kejayaan seperti di Pulau Pinang dengan pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Jika di Pulau Pinang boleh melakukan yang terbaik, kita di Sabah juga harus mempunyai semangat dan kekuatan yang serupa.

Justeru, ingatlah, setiap kali Pesta Kaamatan atau menuai menjelang tiba, PADI adalah pegangan kami dalam membina Sabah yang lebih baik, Malaysia yang lebih cemerlang dan makmur.-Roketkini.com

Penulis adalah Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu yang diolah daripada ucapan ketika sambutan Pesta Kaamatan di Sabah anjuran DAP Negeri, Sabah Jun lalu.