KUALA LUMPUR, 30 JULAI: DAP terkejut apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) walaupun belum menerima surat mengenai keputusan itu daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Ahmad Zahid membuat pengumuman awal itu ketika berucap pada majlis berbuka puasa ROS di Putrajaya, semalam tanpa alasan bertulis mengapa DAP perlu mengadakan pemilihan semula CEC.
Sehubungan itu, katanya, beliau menganggap ini satu tindakan membalas dendam politik dan penganiayaan kerana DAP tidak pernah dimaklumkan sama ada secara lisan atau bertulis mengenai arahan mengadakan pemilihan baru, lagi pun surat yang dijanjikan ROS untuk dihantar kepada DAP belum disediakan atau dihantar.
“Apabila Setiausaha Penganjur DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook melawat Ibu Pejabat ROS di Putrajaya pagi tadi, beliau dimaklumkan surat itu belum dihantar terbukti ROS tidak profesional dan integriti serta menjadi alat UMNO dan BN.
“ROS tidak memberi pertimbangan serius terhadap penjelasan DAP bahawa pemilihan parti pada Disember tahun lalu itu dijalankan dengan betul, sah dan demokratik di mana semua perwakilan yang layak dimaklumkan sepenuhnya tanpa amalan tidak jujur dalam politik wang atau muslihat tipu.
“Kesilapan yang berlaku adalah dalam memasukkan keputusan oleh Pegawai Pengurus yang membawa kepada undi yang salah diumumkan bagi calon yang berjaya. Apabila kesilapan ini ditemui, ia dimasukkan dan diperbetulkan oleh pihak yang secara sukarela tanpa didedahkan kepada pihak luar. DAP kini dihukum kerana enggan menyembunyikan kesilapan dengan jujur dan benar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, DAP telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada ROS dan menyediakan semua maklumat yang diminta.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemimpin, ahli dan penyokong DAP bertenang kerana mesyuarat tergempar CEC akan diadakan malam esok di Ibu Pejabat DAP untuk membincangkan perkembangan terbaru itu.
“Ini jelas satu tindakan dendam dan penyalahgunaan kuasa, CEC DAP hendaklah menimbangkan segala pilihan seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Pertubuhan, selepas menerima arahan bertulis daripada ROS,” katanya. – Roketkini.com