Isu Semasa

DAP sebulat suara tolak arahan tidak munasabah ROS

DAP ros 1KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang mengadakan mesyuarat tergempar malam tadi membuat keputusan menolak arahan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya parti itu mengadakan pemilihan semula jawatankuasa berkenaan.

CEC sebulat suara membuat keputusan itu kerana mereka tidak boleh menerima arahan ROS seperti mana surat bertarikh 30 Julai lalu yang diterima DAP lewat petang semalam.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan selepas mesyuarat tergempar itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan DAP tidak boleh terima arahan itu kerana dua sebab yang perlu dinyatakan ROS terlebih dahulu.

Katanya, pertama, CEC menggesa ROS memberi punca atau sebab mengapa mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberi DAP mengenai pengendalian pemilihan CEC pada 15 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 16 (1) Akta Pertubuhan 1966.

“Kedua, ROS perlu menjelaskan peruntukan mengikut arahan undang-undang mana yang menyebabkan DAP perlu mengadakan pemilihan semula.

DAP ros 2“Saya anggap ia amat luar biasa bila mereka menyuruh DAP mengadakan pemilihan semula dengan hanya alasan mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan dan kerjasama penuh yang diberikan.

“Mereka hanya memberi jawapan ringkas mengatakan tidak berpuas hati tanpa memberi sebarang sebab mengapa ROS tidak puas hati atau menjelaskan kepada kita mengikut undang-undang mana yang menyebabkan mereka tidak puas hati.

“Kami merasakan seolah-olah kami seperti dijadikan tebusan,” ujarnya Guan Eng juga Ketua Menteri Pulau Pinang yang kesal dengan tindakan ROS itu.

Beliau berkata, ROS mesti menjawab pertanyaan DAP itu terlebih dahulu mengikut saluran undang-undang yang betul dan berlaku adil. -Roketkini.com