Berita

DAP desak kerajaan umum kos tukar kereta rasmi

lau weng sanPETALING JAYA, 5 OGOS: DAP mendesak kerajaan memaklumkan kepada rakyat berhubung kos sebenar pembiayaian keseluruhan bagi menggantikan kereta rasmi kerajaan daripada Proton Perdana kepada Honda Accord 2.4 L dan 2.0 L.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, ia berikutan tindakan kerajaan yang membuat keputusan menggantikan kereta rasmi Proton Perdana Executive untuk pegawai pentadbiran, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, hakim dan Pegawai Perkhidmatan Gred Utama/Khas A ke atas kepada Honda Accord 2.4L.

Menurutnya, kereta rasmi Proton Inspira yang diguna pegawai perkhidmatan Gred Utama/Khas B dan C juga akan diganti dengan Honda Accord 2.0L.

Katanya, mengikut laporan media, kedua-dua model Honda itu adalah kereta Completely Knocked-Down (CKD) yang dipasang oleh kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang.

“Saya terperanjat kerana dua sebab. Pertama, mengapa Proton Inspira yang masih baru perlu ditukar kepada Honda Accord 2.0L?

“Kedua, mengapa kerajaan menggunakan Honda Accord 2.4L dan 2.0L, bukannya kereta lain? Adakah ia disebabkan kedua-dua model Honda itu dipasang di kilang DRB-Hicom di Pekan, di mana syarikat ini milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary?.

“Persoalan juga timbul apabila kerajaan tidak mengumumkan samada proses pemilihan itu melalui proses tender terbuka atau rundingan terus, seperti yang berlaku dalam kes Spanco? Berapa banyak yang perlu dibayar kerajaan Persekutuan setiap tahun dan berapa lama kontrak penyewaannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor turut menyelar tindakan itu yang diibaratkan umpama cakap tidak serupa bikin.

“Pada 2008 kerajaan negeri PR Selangor dan Perak memutuskan untuk menggantikan kereta Proton Perdana Executive dengan Toyota Camry 2.4L sebagai kereta rasmi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Namun tindakan ini terus dikritik pimpinan UMNO sebagai tidak ‘patriotik’ walaupun ia digantikan atas sebab kos penyelenggaraannya yang terlalu tinggi serta kerosakan yang kerap berlaku.

“Pemimpin UMNO diam apabila kerajaan Terengganu dan Sabah kemudiannya membuat keputusan yang sama dengan membuat keputusan menggantikan kereta rasmi Proton Perdana Executive dengan Mercedes-Benz dan Volvo. Kedua-dua jenama ini jauh lebih mahal dan mewah berbanding Toyota Camry.

“Mereka sebelum ini pandai menuduh pimpinan PR dengan pelbagai tohmahan, namun kini jelas terpampang bahawa pemimpin UMNO telah hilang kredibiliti apabila mereka sanggup ‘menderhaka’ terhadap kereta nasional sendiri,” ujarnya. -Roketkini.com