Berita

Jangan hukum rakyat dengan GST – Tony Pua

tony puaPETALING JAYA, 5 OGOS: DAP mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak menghukum rakyat dengan melaksanakan cukai perkhidmatan barang (GST) akibat defisit dan hutang negara yang semakin bertambah.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, ia berikutan laporan Fitch Ratings yang menunjukkan unjuran kewangan negara daripada ‘stabil’ menjunam kepada ‘negatif’, hutang negara juga meningkat kepada 53.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun lalu dan defisit pula meningkat kepada 3.8 peratus.

“Persoalan yang perlu ditanya mengapa ketika pendapatan negara meningkat menyebabkan banyak negara iri hati, tiba-tiba kerajaan yang diterajui BN tidak berdaya untuk keluar daripada lubang defisit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara menegaskan, hasil kerajaan meningkat daripada hanya RM93 bilion pada 2003 kepada kira-kira RM209 bilion pada 2013, iaitu peningkatan 125 peratus dalam tempoh satu dekad.

“Peningkatan itu adalah sumbangan hasil minyak negeri dan syarikat gas Petronas yang menyumbang sehingga RM426 bilion dan diberi sebanyak RM260 billion sejak itu.

“Walaupun hasilnya besar, Malaysia masih mengalami defisit dan hutang berterusan akibat daripada pembaziran, ketirisan serta rasuah.

“Ia tidak boleh ‘diubati’ hanya dengan mengenakan GST kepada rakyat,” ujarnya.

Najib baru-baru ini menyatakan bahawa kerajaan masih merancang untuk mengurangkan subsidi dan meluaskan cukai asas sebagai respons kepada penilaian negatif yang dikemukakan Fitch Ratings.

Menempelak kenyataan Najib, Pua menyifatkan walaupun meningkatkan cukai kepada setiap rakyat adalah cara paling mudah mengurangkan defisit, namun ia langsung tidak menyelesaikan punca asas masalah kewangan negara.

“Kita lihat apa yang berlaku di Greece, Sepanyol, Ireland, Portugal dan Itali, dengan nilai cukai tinggi sehingga 23 peratus akhirnya tetap tidak dapat menyelamatkan negara mereka daripada krisis kewangan yang teruk.

“Jika kerajaan terus membazirkan wang negara melalui pengurusan yang tidak cekap, terus terbabit dalam penyakit kronisme dan rasuah, maka tidak mustahil lambat laun Malaysia juga akan mengalami krisis yang sama walaupun memperoleh cukai daripada setiap rakyat.

Menurutnya lagi, meluaskan cukai asas akan mewujudkan halangan kepada reformasi kewangan yang beliau cadangkan minggu lalu termasuk mengurangkan pergantungan hutang tersembunyi, menguatkuasa secara telus dan terbuka dalam urusan pemperolehan dan kontrak penswastaan.

Bank Negara sebelum ini turut melaporkan bahawa hutang kerajaan kini berjumlah RM508.9 bilion pada suku pertama 2013 berbanding RM501.6 bilion dalam tempoh yang sama sebelumnya.-Roketkini.com