Berita

Karpal Singh, Anwar buat laporan polis terhadap Mazlan Ismail

anwar karpalPETALING JAYA, 5 OGOS: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh menafikan tuduhan bahawa mereka membayar RM50 juta untuk menyelesaikan urusan yuran guaman dan merasuah hakim serta timbalan pendakwaraya.

Dalam kenyataan bersama semalam, mereka menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘berniat jahat, remeh dan menyusahkan’ serta menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan siasatan secara mendalam terhadap dakwaan itu.

Akhbar seliaan UMNO/BN, Utusan Malaysia dan News Straits Times terdahulu melaporkan bahawa bekas calon Permatang Pauh BN, Dr Mazlan Ismail menerima lebih daripada 6,000 surat bertajuk ‘Bankleaks Anwar/Karpal’ dihantar ke rumahnya yang mengandungi dakwaan terbabit.

Dakwaan jahat Mazlan itu juga disiar TV3 pada 2 Ogos lalu.

Berikutan ‘surat layang’ itu, Anwar dan Karpal, masing-masing semalam membuat laporan polis di Balai Polis Tropicana, Petaling Jaya.

Anwar berkata, sepanjang pembabitan Karpal sebagai panel guamannya, soal bayaran tidak pernah dibangkitkan jadi ini membuktikan dakwaan itu menghina maruahnya dan Karpal.

“Saya dan Karpal akan mengambil tindakan bersesuaian dengan fitnah berterusan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh itu berkata, isu itu sebenarnya sengaja dibangkitkan bagi mengelak isu lain, antaranya unjuran ekonomi yang lesu, kadar jenayah meningkat dan skandal rasuah kerajaan.

anwar karpal2Karpal juga menegaskan dakwaan itu mengarut dan sama sekali tidak berasas.

“Saya mencabar Mazlan, jika benar seperti yang didakwa, tunjukkan akaun bank, nombor cek dan identiti orang yang membuat surat itu.

“Saya juga mencabar TV3, Utusan Malaysia dan NST untuk melakukan perkara yang sama,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti dan akan mengambil tindakan susulan dalam tempoh seminggu.

Katanya, pejabat peguam negara tidak boleh berdiam diri dan perlu mempertahankan sistem kehakiman berikutan dakwaan jahat itu dan harus memberi maklum balas segera mengenainya. -Roketkini.com