Berita

ROS mesti ada alasan kukuh arah DAP adakan pemilihan semula CEC

lks-nikKUALA LUMPUR, 7 OGOS: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau sendiri tidak ada masalah jika pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP diadakan tetapi ia membabitkan prinsip penting dalam perundangan iaitu Pendaftaran Pertubuhan (ROS) harus mempunyai alasan kukuh sebelum mengarahkan sesebuah parti itu mengadakan pemilihan semula.

Katanya, jika berasaskan aduan yang dikemukakan, berkuasakah ROS untuk mengarahkan UMNO, MCA, Gerakan atau MIC mengadakan pemilihan semula tanpa memberi alasan yang munasabah.

Menurut beliau, ini kerana UMNO, MCA, Gerakan dan MIC juga akan mengadakan pemilihan parti masing-masing dalam masa beberapa bulan saja lagi.

“Kami memberi masa tujuh hari untuk “Father Augustus Chen” tampil dan membuktikan ia benar-benar wujud, jika tidak, sanggupkan ROS menimbangkan semula keputusan supaya DAP mengadakan pemilihan semula CEC.

“Saya sudah katakan sebelum ini bahawa “Father Augustus Chen” yang risalahnya “The Equity Report (CEC Election Fraud) digunakan sebagai sumber oleh pimpinan UMNO/BN dan ROS untuk mengisytiharkan pemilihan CEC Disember tahun lalu sebagai tidak sah adalah semata-mata imaginasi “war room” UMNO/BN dalam kempen menentang DAP sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Mei lalu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, hari ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Ahli Parlimen UMNO dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek mengesahkan akan bertanding kerusi Majlis Tertinggi UMNO pada pemilihan parti itu Ogos ini.

Katanya, percanggahan pemilihan CEC DAP akhir tahun lalu adalah satu pembohongan dan fitnah kerana sedang dijadikan bahan oleh pemimpin UMNO sebagai modal bagi pemilihan UMNO.

Minggu lalu Hasan menyatakan nama “Father Augustus Chen” adalah sumber yang digunakan sebagai alasan untuk Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC.

Kit Siang berkata, dua rekod baru dicatat iaitu buat kali pertama dalam sejarah 56 tahun undang-undang awam di Malaysia, Menteri Kabinet dan pegawai awam bergantung pada watak rekaan untuk menghalalkan keputusan mereka dan penggunaan buku picisan sebagai bukti, sedangkan buku ini tidak berbeza daripada “surat layang” malah ia diterbitkan dengan cara yang menyalahi undang-undang iaitu tanpa menyebutkan nama pencetak dan penerbit.

Bagaimanapun, katanya, risalah “surat layang” yang diterbitkan oleh watak rekaan itu diberikan perhatian penting dalam media kawalan UMNO/BN, setelah begitu banyak dana dan sumber dilaburkan untuk menerbitnya dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Tamil, serta diedarkan dalam jumlah yang besar secara percuma.

“Apakah Menteri Kabinet seperti Hasan Malek dan Ketua Pengarah ROS sanggup memberi jaminan bahawa “Father Augustus Chen” benar-benar wujud, bukannya seekor hantu yang dicipta “war room” UMNO/BN dalam kempen menentang DAP,” ujarnya.-Roketkini.com