Rencana

Mesej Aidilfitri Lim Kit Siang

LKS johor GE13AIDILFITRI adalah kesempatan yang baik untuk masyarakat bukan-Muslim di Malaysia menyertai teman mereka di kalangan Muslim dalam perayaan yang disambut di seluruh negara.

Budaya kunjung-mengunjung, ucapan selamat, rumah terbuka dan sebagainya mampu mengukuhkan lagi persefahaman, perpaduan kebangsaan, keharmonian dan rasa kebersamaan yang dibina selama 56 tahun usia negara sejak merdeka.

Bagaimanapun, dalam kemeriahan menyambut Syawal, beberapa peristiwa mutakhir ini membangkitkan kebimbangan mengenai masa depan Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa, agama, budaya dan daerah.

Sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Utusan Malaysia menyiarkan berita muka depan bertajuk: “Apa lagi Cina mau?”

Sudah barang pasti, soalan itu tidak sepatutnya ditanya, demikian juga soalan lain seperti “Apa lagi Melayu mau?” “Apa lagi India mau?” “Apa lagi Kadazan mau?” atau “Apa lagi Dayak mau?”

Kita boleh faham kalau soalan-soalan sedemikian ditanya dalam dekad-dekad awal penubuhan negara ini. Tetapi, bila mana ia diajukan sekarang, seolah-olah ada sesuatu yang tak kena biar pun usia negara kita telah mencecah lebih separuh abad. Justeru soalan apa yang wajar kita ajukan?

Soalan yang lebih tepat untuk ditanya adalah: “Apa lagi Malaysia mau?”

Seperti kita maklumi, urustadbir Malaysia berada dalam kerangka rasuah dan salahguna kuasa yang menjadi wabak berbahaya. Maka sudah tentu jawapannya adalah, Malaysia mahukan tadbir-urus yang baik, kejayaan dalam usaha membasmi korupsi, keamanan dalam negara dan kadar jenayah yang rendah; keadilan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran untuk semua warga serta sistem pendidikan bertaraf dunia dari peringkat rendah sampai ke universiti.

Selain itu, soalan ini juga merupakan kesempatan untuk semua rakyat yang cintakan Malaysia dan tidak mempunyai hasrat untuk berhijrah ke negara lain, merenung bagaimana untuk menjadikan negara ini lebih bersatu, lebih harmoni, lebih kukuh, lebih membangun dan lebih makmur untuk semua rakyatnya tanpa mengira batas kaum, agama atau fahaman politik.

Pada masa yang sama, ungkapan “Balik Cina,” “Balik India,” malahan ungkapan “Balik Indonesia” yang pernah kita dengar juga menimbulkan banyak persoalan dalam proses pembinaan negara ini dengan masyarakat majmuk yang matang.

Perkara ini amat penting demi masa depan masyarakat, ekonomi dan negara yang lebih stabil, sihat dan berdaya saing.

Justeru, dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini, marilah kita sama-sama, seluruh rakyat Malaysia beriltizam dan berjuang untuk terus menyuburkan benih-benih kecintaan terhadap negara, kasih-sayang sesama manusia dan memadamkan api perkauman yang akhirnya merosakkan pembinaan negara bangsa ini.

Akhirnya, di hari yang mulia ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk seluruh masyarakat Islam di Malaysia.-Roketkini.com