Berita

Usah perjudi nyawa anggota polis – DAP

stevensimBUKIT MERTAJAM, 9 OGOS: Kerajaan Barisan Nasional (BN) diminta tidak memperjudikan nyawa dan nasib pegawai polis dengan meletakkan kepentingan politik lebih tinggi daripada keselamatan rakyat dan negara.

Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini bahawa secara purata seorang pegawai penyiasat (IO) perlu mengendalikan 19 kes siasatan sebulan manakala IO di kawasan “hot spot” pula perlu mengendalikan 20 hingga 30 kes sebulan.

“Berikutan itu kita dapat lihat bahawa Kerajaan BN memperjudikan nyawa rakyat dan membahayakan nyawa anggota polis kerana sibuk berpolitik dan enggan memberi sumber yang secukupnya untuk melawan jenayah,” demikian kata Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, dalam saranan Laporan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin 2005, seorang IO sepatutnya mengendalikan lima kes sebulan.

“Apabila seseorang IO terpaksa mengendalikan tiga hingga empat kali ganda jumlah kes itu, maka bukan sahaja kecekapan boleh terjejas, malah akan membahayakan nyawa anggota dan pegawai polis kita,” jelas beliau.

Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP Kebangsaan itu juga berkata, selain itu kerajaan juga tidak perlu menubuhkan Ordinan Darurat yang baru dalam usaha memerangi jenayah sebaliknya cukup dengan dengan penstrukturan semula Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sehingga kini, kerajaan BN, khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih belum membalas persoalan saya mengenai peningkatan mendadak anggota polis Cawangan Khas (termasuk pasukan Special Task Force) iaitu lebih kurang 2,423 orang pegawai atau peningkatan 46.43 peratus daripada 2011 sehingga  2013, sedangkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) hanya meningkat 583 orang iaitu kira-kira 6.24 peratus,” kata beliau yang dianggap tidak seimbang.

“Kerajaan tidak memperuntukkan sumber yang mencukupi untuk PDRM melawan jenayah, tetapi pada masa sama, kerajaan ingin mengembalikan akta zalim menggantikan Ordinan Darurat kerana kononnya jenayah meningkat setelah akta itu dimansuhkan.

“Jika kerajaan ikhlas hendak menangani jenayah, maka jangan sibuk berpolitik dan membuat kerja sia-sia. Apa yang diperlukan pada kadar segera ialah penstrukturan semula PDRM,” katanya.

Justeru, beliau berharap, kerajaan dapat memberi pertimbangan wajar menangani dan mencegah kejadian jenayah yang semakin berleluasa dalam negara ini.

“Pengembalian semula Ordinan Darurat tidak akan memberikan apa-apa justifikasi,” ujar beliau.-Roketkini.com