Berita

DAP kecam Lee Kuan Yew

IMG_0505KUALA LUMPUR, 10 OGOS: DAP mengecam kenyataan semberono bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang menuduh Pakatan Rakyat (PR) sebagai sebuah pakatan oposisi yang ‘gemar mengambil kesempatan dan bakal berpecah’ dalam buku terbaru tulisan beliau ‘One Man’s View of the World’ yang dilancarkan di republik itu baru-baru ini.

Biar pun beliau mempunyai hak untuk bersuara, malangnya tuduhan itu tidak berasas kerana PR telah berjaya membuktikan kebolehan mereka memerintah di beberapa buah negeri dengan cemerlang berbanding negeri-negeri di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dengan urus tadbir yang baik, telus serta mencatatkan lonjakan pelaburan.

Demikian kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua ketika dihubungi sambil menyifatkan kenyataan Kuan Yew itu seolah-olah cemburu dengan kejayaan PR yang mampu dicapai dalam masa yang singkat.

“PAP di Singapura adalah sama dengan BN di Malaysia sebagai sebuah parti yang memerintah. Kedua-dua parti ini mencatatkan kemerosotan ketara sokongan rakyat dan kita tidak begitu hairan dengan kenyataan pemimpin veteran Singapura Kuan Yew itu,” katanya.

Pada masa yang sama Pua berkata beliau turut berasa pelik dengan kenyataan Kuan Yew yang mengeluarkan analisa dangkal  sedangkan pemimpin veteran PAP itu sebelum ini dikenali sebagai seorang yang memiliki kecenderungan menganalisa yang dalam.

Mengulas kepada tulisan Kuan Yew yang menyatakan Malaysia akan terus berkiblatkan ‘ketuanan Melayu’ walau siapa pun perintah, Pua menjelaskan bahawa apa yang diperjuangkan PR adalah berdasarkan Buku Jingga.

“Kuan Yew sepertinya gagal menilai kesepakatan PR sebagai sebuah parti rakyat pelbagai kaum. Beliau seolah-olah masih melihat PR dalam acuan perkauman sedangkan hakikatnya tidak. Memang benar, jawatan Perdana Menteri yang dicadangkan PR jika memerintah ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau adalah seorang Melayu Islam. Itu hakikat politik.

“Tetapi, apa yang gagal Lee Kuan Yew lihat ialah dasar yang diperjuangkan PR iaitu dasar ekonomi yang merakyat. Ia bermaksud, agenda ekonomi yang mahu dibawa PR sangat jelas dan terang iaitu berdasarkan kepada keperluan dan bukannya kaum. Kita bangunkan, bantu siapa juga yang layak menerima sokongan dan bantuan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

IMG_0781Bagi Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M Kulasegaran, kenyataan Lee Kuan Yew mengkritik PR secara dangkal tidak mencerminkan langsung dasar dan perjuangan yang dibawakan pakatan oposisi itu.

“Jika kita (PR) adalah pakatan yang rapuh, bagaimana kita boleh menerima 51 peratus undi majoriti rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu? Lagi pun kita sudah masuk pengggal ke dua memerintah di beberapa buah negeri dengan urustadbir yang jauh lebih baik dari negeri yang ditadbir BN,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat.

Beliau juga menegaskan bahawa kemenangan yang lebih besar PR dalam PRU13 lalu mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap pelbagai dasar ekonomi dan kebajikan yang mahu diimplementasikan.

“Jika PR tidak kuat. Dengan segala propaganda jahat media kawalan BN hampir setiap hari memburukkan kita, PR tidak mampu untuk bertahan dalam pilihan raya lalu dan lebih baik dari sekarang,” ujar beliau.-Roketkini.com