Isu Semasa

“Father Augustus Chen” tidak wujud bukti risalah ditulis mengenai DAP bohong

998843_10151467839991073_1823331413_nKenyataan Media Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang di Kuala Lumpur, Selasa, 13 Ogos 2013:

Terbukti – “Father Augustus Chen” tidak wujud dan risalah yang ditulisnya mengenai DAP, berjudul “The Equity Report (CEC Election Fraud)” adalah satu pembohongan.

Pembohongan mengenai “Father Augustus Chen” amat melampau sehingga beliau digambarkan sebagai bekas sekutu saya malah dicabar menyatakan samada saya masih berkawan dengannya.

Masa tujuh hari yang diberikan kepada “Father Augustus Chen” untuk menampilkan diri dan membuktikan ia benar-benar wujud sudah tamat. Masih tiada tanda menunjukkan ada manusia di Malaysia atau di bumi ini yang mempunyai nama sedemikian.

“Father Augustus Chen” adalah makhluk khayalan juru propaganda dan cybertrooper skuad DDD UMNO/BN yang dicipta untuk menulis sekitar 100 pembohongan dalam risalah setebal 12 muka surat sebagai kemuncak serangan DDD ke atas pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung Disember tahun lalu.

Rakyat Malaysia berhak mengetahui bagaimana Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan pimpinan UMNO/BN (termasuk Menteri Kabinet) boleh terpedaya dengan pembohongan yang direka satu watak khayalan sehingga mereka merasa yakin untuk menganggap pemilihan CEC DAP akhir tahun lalu sebagai tidak sah dan mengarahkan agar diadakan pemilihan semula.

Kini juru propaganda dan cybertrooper DDD UMNO/BN mula mengubah nada mereka memandangkan mereka tidak boleh lagi berselindung di sebalik nama “Father Augustus Chen”, kerana tempoh tujuh hari yang saya beri untuk pemilik nama itu tampil membuktikan dirinya benar-benar wujud sudah tamat.

Kini mereka mengatakan tidak penting sama ada “Father Augustus Chen” wujud atau tidak, sebaliknya yang penting ialah samada tuduhan yang dilemparkannya dalam risalah itu benar.

Perubahan nada mereka sungguh mengaibkan, kerana jelas jika pengarang risalah itu sendiri direka, maka tuduhannya lebih-lebih lagi tidak sepatutnya diberi perhatian kerana hampir pasti semua yang ditulisnya juga adalah rekaan dan pembohongan.

Bagaimanapun, DAP tetap bersedia memberi maklum balas terhadap setiap pembohongan yang dikemukakan “Father Augustus Chen” dalam soal siasat awam jka Ketua Pengarah ROS sanggup untuk turut memberi penjelasan dalam soal siasat awam mengenai bukti yang beliau gunakan untuk mengambil tindakan terhadap DAP.

Dua tuduhan utama “Father Augustus Chen” untuk mengatakan pemilihan CEC tidak sah iaitu kerana “753 perwakilan tidak hadir (kebanyakannya berketurunan India)” kerana tidak diberi notis untuk hadir dan mengundi pada Kongres DAP dan kerana “547 perwakilan hantu (kebanyakan dari Pulau Pinang)” ternyata bohong.

Kami mahu Ketua Pengarah ROS menyatakan secara jelas samada beliau bertindak terhadap DAP berasaskan satu atau kedua-dua pembohongan itu.

Sesuatu yang menghairankan kerana tuduhan mengenai “547 pengundi hantu” itu baru saja muncul bulan lalu dan tidak pernah dibangkitkan oleh ROS kepada DAP sejak tujuh bulan lalu.

Memandangkan “Father Augustus Chen” terbukti adalah satu makhluk rekaan dan risalahnya adalah pembohongan, apakah alasan untuk Ketua Pengarah ROS menganggap pemilihan CEC tidak sah dan mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula?

DAP dan rakyat Malaysia berhak tahu sebabnya memandangkan DAP sudah memberi penjelasan mengenai gangguan komputer ketika pemilihan CEC di Pulau Pinang Disember tahun lalu di mana gangguan itu adalah kesilapan kecil yang tidak disengajakan dalam satu proses pemilihan yang demokratik dan telus – memandangkan kesilapan hanya berlaku ketika pemindahan keputusan yang membawa kepada kesilapan pada pengumuman pemenang, bukannya kesilapan pengiraan atau penjumlahan undi.
Lim Kit Siang