Isu Semasa

DAP bukan tewas, elak parti dibatal ROS – Lim Guan Eng

16.03.13-dinner fundraising-lge-malay join dap (11)Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 16 Ogos 2013.

Demi mengelak kemungkinan pembatalan pendaftaran parti oleh BN, DAP tidak boleh tewas kepada kekejaman Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang bersifat menindas mahupun mempunyai sebarang andaian bahawa ROS mempunyai sebarang rasa hormat kepada kedaulatan undang-undang.

Demi mengelak kemungkinan pembatalan pendaftaran parti oleh BN, DAP tidak boleh tewas kepada kekejaman Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang bersifat menindas mahupun mempunyai sebarang andaian bahawa ROS mempunyai sebarang rasa hormat kepada kedaulatan undang-undang. Pimpinan DAP akan mengadakan jelajah ke setiap negeri untuk menerangkan rasional keputusan terbaru selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sessi 2008-2011 Khamis depan untuk mengadakan pemilihan semula.

Tidak ada keraguan lagi bahawa ROS telah berulangkali berkelakuan tidak profesional, tidak beretika malah tidak menepati undang-undang dengan mengumumkan kepada media perkara-perkara yang tidak berasaskan fakta. Daripada bergantung kepada fakta dan maklumat yang disediakan oleh DAP yang turut disahkan oleh firma perakaunan, ROS nampaknya lebih percaya kepada penipuan tidak berasas seorang manusia yang tidak wujud bernama Father Augustus Chen, Utusan Malaysia dan New Straits Times; bahawa 753 perwakilan DAP telah dinafikan hak mereka untuk hadir kongres DAP di Pulau Pinang atau wujudnya 547 ‘perwakilan hantu’ menghadiri kongres tersebut.

Keputusan pahit dan menyakitkan yang dibuat oleh pimpinan parti dalam mesyuarat tergempar CEC 2012-15 pada hari Rabu lalu untuk mengadakan pemilihan semula adalah semata-mata untuk mengelak daripada memberi peluang kepada ROS untuk menyalahgunakan kuasanya dengan membatalkan pendaftaran parti. Sudah ada banyak contoh salahguna kuasa ROS sebelum ini dan tindakan ‘double standard’ termasuklah dengan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pemilihan parti SUPP pada tahun 2011 berbanding tindakan pantas mereka yang tidak menepati undang-undang dengan mencampuri urusan pemilihan parti pada tahun 2012.

Pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, sebelum pun pihak ROS memaklumkan kepada DAP bahawa parti diarahkan untuk mengadakan pemilihan semula adalah petunjuk jelas bahawa ROS adalah tidak bebas mahupun tidak berpihak malah bertindak semata-mata menurut arahan politik BN. Lanjut, permintaan berulang kali daripada pihak DAP  kepada ROS untuk melihat aduan-aduan yang yang dibuat terhadapnya langsung tidak membuahkan hasil.

Akhirnya, keengganan ROS yang begitu mengejutkan untuk bertemu dengan saya atas kapasiti saya sebagai Setiausaha Agung DAP seperti yang dimaklumkan kepada Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke pada hari Rabu 14 Ogos 2013, bukan sahaja tidak profesional malah membuktikan bahawa ia memang berniat  menindas, menekan dan membungkam terhadap DAP. Pimpinan DAP tidak boleh bertindak pasif malah mesti bertindak proaktif menghadapi serangan yang begitu jelas berniat jahat terhadap parti.

Jelas sekali bahawa wujud pilihan perundangan bagi DAP mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan ROS yang jelas tidak sah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Seksyen 18A, 18B dan 18C Akta Pertubuhan 1966. Namun dalam berhadapan dengan sikap bermusuh ROS yang jelas berniat  menindas, menekan dan membungkam; terdapat kerisauan daripada pimpinan tertinggi bahawa memfailkan semakan kehakiman hanya akan mencetuskan tindakan lanjut daripada ROS dengan membatalkan pendaftaran parti.

Tidak dapat diragukan lagi bahawa tindakan membatalkan pendaftaran parti oleh pihak ROS juga adalah salah dari segi undang-undang. Namun, pembatalan pendaftaran adalah satu risiko yang tidak dapat ditanggung oleh pihak parti hanya untuk membawa ROS ke mahkamah. Kalaupun DAP menang di mahkamah ke atas arahan tidak sah untuk mengadakan pemilihan semula, parti akan tetap perlu ke mahkamah lagi untuk menentang kemungkinan parti dibatalkan pendaftarannya. Walaupun terdapat kemungkinan menang sekali lagi terhadap pembatalan pendaftaran, proses mahkamah dan masa yang diambil barangkali berbulan atau bertahun akan meletakkan mana-mana parti politik yang dibatalkan pendaftarannya oleh ROS dalam keadaan digantung tak bertali, yang bukan sahaja tidak praktikal malah akan mengancam kemandirian dan pertumbuhan parti.

BN telah berusaha membalas dendam terhadap DAP semenjak kejayaan bersejarah DAP dalam PRU ke 13 dengan memenangi bilangan kerusi terbesar dalam sejarah sebanyak 38 kerusi Parlimen dan 107 kerusi DUN di seluruh negara, yang turut menyumpang kepada kemenangan Pakatan Rakyat mendapatkan undi popular sebanyak 51% lantas menolak BN menjadi sebuah parti minoriti. Sebagai sebuah kerajaan minoriti, BN telah memperlihatkan bahawa ia tidak ada masalah dan tidak teragak-agak untuk bertindak bertentangan dengan undang-undang mahupun secara double standard.

Atas sebab ini, walaupun DAP mempunya posisi undang-undang yang kukuh bahawa arahan Pendaftar Pertubuhan supaya parti mengadakan pemilihan semula adalah tidak berasaskan kuasa perundangan yang tepat; DAP tidak ada pilihan lain selain membantutkan apa-apa tindakan lanjut daripada pihak ROS untuk menyalahgunakan kuasanya dengan membatalkan pendaftaran parti.

Keputusan ini amat menyakitkan, apabila pemilihan CEC Disember tahun lalu telah dilaksanakan dengan betul dan bersih kecuali kerana kesilapan komputer yang mengakibatkan terjadinya pengumuman yang salah untuk calon-calon yang berjaya. DAP telah bertindak cepat membetulkan kesilapan tersebut malah telah mendapatkan khidmat firma perakaunan untuk mengesahkan keputusan yang telah dibetulkan. Tidak wujud kesilapan dalam proses pengiraan undi mahupun penjumlahan tetapi hanya dalam pengumuman keputusan terbabit, yang mengakibatkan seorang calon, Vincent Wu disalahumum sebagai calon yang berjaya sedangkan sepatutnya yang diumumkan ialah Zairil Khir Johari.

Kesilapan ini telah dibetulkan dengan mengembalikan Zairil Khir Johari sebagai calon yang berjaya. DAP telah memberi penjelasan penuh tentang kesilapan yang tidak disengajakan ini kepada pegawai-pegawai daripada ROS dengan memberikan mereka semua dokumen dan bahan yang perlu. Kesilapan tersebut telah diakui secara sukarela oleh DAP tanpa didedahkan oleh ROS ataupun BN demi menjaga kepentingan prinsip ketelusan dan akauntabiliti. DAP kini dihukum kerana bertindak jujur dan bercakap benar.

ROS mahu memburukkan persepsi baik terhadap DAP yang menawarkan keadilan, demokrasi, kebebasan dan harapan. Pimpinan DAP telah mengambil keputusan yang begitu sukar, menyakitkan dan sukar ditelan untuk berhadapan dengan realiti dan kekejaman salahguna kuasa ROS dan tidak mahu diperdaya dengan harapan bahawa ROS masih menghormati kedaulatan undang-undang. Atas sebab ini, DAP terpaksa mengikut arahan ROS untuk mengadakan pemilihan semula demi meneruskan persepsi dan harapan yang baik tadi.

LIM GUAN ENG