Berita

Benarkan wakil Parlimen Pakatan lawat tapak KLIA2 jika kerajaan BN tiada apa nak disembunyikan, kata Tony Pua

location-of-klia2PETALING JAYA, 22 OGOS: DAP hari ini menuntut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi agar mengotakan janjinya untuk membenarkan pimpinan oposisi melawat tapak pembinaan KLIA2 jika benar operasinya berjalan lancar seperti yang didakwa.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, sejak dua tahun lalu pihaknya meminta satu sesi perjumpaan dengan menteri untuk melawat ke tapak pembinaan KLIA2 dan Abdul Aziz berjanji akan mempertimbangkan permintaan itu dalam sidang Parlimen Jun lalu.

“Abdul Aziz Selasa lalu memberi jaminan pembinaan KLIA2 berjalan lancar seperti dijadualkan dan berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilaksanakan kontraktor.

“Jadi jika beliau begitu yakin bahawa pembinaan KLIA2 berjalan lancar, apakah sebabnya sehingga hari ini kementerian masih enggan menjemput ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) melawat tapak kerja KLIA2?

“Terbukti jaminan untuk mempertimbangkan agar kami (pimpinan PR) dibawa dalam satu lawatan ke tapak pembinaan hanya bertujuan untuk menghancurkan ‘once and for all’, kritikan daripada kami. Kementerian ternyata tidak berani berbuat begitu dan langsung tidak bersifat telus kerana adanya udang di sebalik batu yang tidak dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsan berkata, jaminan dari pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa KLIA2 akan memulakan operasi pada 2 Mei 2014 dan tidak akan ditunda lagi juga hanya tinggal janji dengan kos pembinaan yang semakin melonjak.

Beliau turut menyelar sikap berahsia kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang mana memperlihatkan wujudnya ketirisan.klia2-progress-2012-11-02

“Jaminan sebelum ini diberikan kerajaan dan MAHB bahawa kos tidak akan meningkat dan kerja pembinaan mengikut jadual tetapi akhirnya mereka terpaksa mengakui bahawa projek ini tidak dapat disiap mengikut jadual dan kos telah melonjak kepada RM4 bilion.

“Akibat peningkatan kos, MAHB sekarang dilaporkan terpaksa meminjam sebanyak RM1 bilion melalui penawaran sukuk dengan kos lebih tinggi

“Sikap berahsia MAHB dan kementerian menunjukkan segala janji kedua-dua pihak adalah jaminan kosong dan ada isu besar ingin dikuburkan supaya rakyat tidak mengetahui kebenaran atau pihak yang bersalah tidak akan dikenakan sebarang hukuman.

Pembinaan KLIA2 sepatutnya siap pada September 2011 dan peningkatan kos pembinaan daripada RM1.7 bilion kepada RM4 bilion telah dibangkitkan ahli parlimen PR sejak dua tahun lalu, namun sehingga hari ini tidak ada kesudahannya. -Roketkini.com