Berita

DAP gesa Zahid Hamidi hentikan cerita ‘dongeng’ sebagai alasan wujudkan semula Ordinan Darurat

PETALING JAYA, 26 OGOS: DAP menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya menghentikan kenyataan ‘dongeng’ kononnya 90 peratus daripada jenayah serius yang berlaku dalam negara sekarang berpunca dari pembebasan bekas tahanan Ordinan Darurat (EO).

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata dakwaan Zahid itu sama sekali tidak berasas kerana angka 90 peratus itu diperoleh dari kajian yang tidak pernah dibentangkan kepada umum.

“Jika kajian seperti yang ‘didongengkan’ itu wujud sekalipun, pastinya amat mengejutkan untuk memperoleh angka sebanyak 90 peratus daripada jenayah dikenal pasti telah dilakukan oleh bekas tahanan Simpang Renggam, ‘penjenayah’ ini tentunya sudah dikenal pasti, ditangkap, disiasat dan mungkin juga dikenakan tindakan.

“Tetapi jika mereka telah ditangkap serta disiasat dan kemudian terdapat hanya sedikit laporan mengenainya, mengapa jenayah masih berleluasa dan pihak polis masih memerlukan EO?

“Dakwaan Zahid itu jelas tidak membuktikan keperluan untuk EO, sebaliknya ia hanya membuktikan polis kita benar-benar tidak cekap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Julai 11 lalu, Zahid Hamidi mendakwa beliau akan membentangkan statistik kajian mengenai jenayah pada sidang Parlimen akan datang untuk mewajarkan keperluan Ordinan Darurat (EO) dan membolehkan polis meletakkan suspek dalam tahanan tanpa bicara selama 2 tahun.

Berdasarkan tuduhan itu, Zahid menyatakan 90 peratus daripada jenayah terancang telah dilakukan oleh bekas tahanan yang dibebaskan dari pusat tahanan Simpang Renggam, statistik dan kajian mengenai akan diumumkan di Dewan Rakyat dalam mesyuarat bulan depan.

Namun apabila ditekan supaya membuktikan statistik itu minggu lalu, Zahid cuba mengelak dan menggesa supaya bersabar kerana beliau akan mengumumkannya kelak.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menegaskan, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail juga telah mengesahkan bahawa ‘kajian’ yang dilakukan Zahid adalah sebuah ‘dongeng’.

“Gani Patail memberitahu dalam forum anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Sabtu lalu, walaupun selepas pemansuhan EO pada 2011, tidak ada bukti dari 1,567 kertas siasatan mendapati jenayah telah dilakukan oleh bekas tahanan.

“Beliau juga menjelaskan tidak ada bukti untuk mengatakan bekas tahanan melakukan jenayah dan polis hanya bergantung kepada EO agar dapat menahan penjenayah berat yang disyaki kerana rasa ‘ketagih’ sahaja,” ujarnya.

Pua turut mengulangi bahawa EO tidak berkesan untuk membanteras jenayah yang semakin meningkat dan statistik polis lalu telah membuktikannya.

“Di masa kemuncak, kadar jenayah yang meningkat sebanyak 34 peratus dari tahun 2004 hingga 2007. Dalam tempoh ini, EO sudah sedia ada di tangan polis dan ianya tetap tidak dapat membasmi jenayah.

“Selepas itu, pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri mendakwa telah berjaya memerangi jenayah walaupun EO dimansuhkan pada akhir 2011, dengan indeks jenayah menurun sebanyak 7.6 peratus pada 2012. Jadi bagaimana pula Zahid kini boleh menuduh punca jenayah meningkat hampir sepenuhnya disebabkan pemansuhan EO?,” soalnya. -Roketkini.com