Rencana

Polemik PTPTN dan kecurangan sistem pendidikan negara

Oleh Zairil Khir Johari

zairil khir johari

Polemik PTPTN harus dibaca bersama dengan kualiti pendidikan tinggi negara, kerana pemahaman isu ini secara berasingan hanya akan menyebabkan kita menyalahkan para graduan dan mengutuk mereka sebagai golongan yang tidak tahu bersyukur serta lari daripada tanggungjawab membayar hutang. Kita juga akan gagal mencermati bahawa para graduan sebenarnya merupakan mangsa kecurangan sistem pendidikan negara ini.

Sebagai mengiringi penggubalan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta pada tahun 1996, skim pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diperkenalkan pada tahun seterusnya. Ekoran daripada itu, alam pengajian tinggi di Malaysia telah menampakkan percambahan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dengan begitu pesat.

Setakat 30 November 2012, terdapat sejumlah 478 buah IPTS yang diperincikan kepada 37 universiti swasta, 20 kolej universiti swasta, tujuh kampus cawangan universiti luar negara dan 414 kolej swasta di negara ini.

Memang tidak dinafikan, ketersediaan pinjaman PTPTN sekaligus membuka pintu pengajian tinggi kepada ramai pelajar yang dahulunya tidak mampu dari segi kewangan. Namun pada masa yang sama, ia juga memberi ruang kepada kolej-kolej swasta untuk mengambil kesempatan ke atas kemudahan tersebut.

Akibat proses permohonan dan pemberian pinjaman PTPTN yang begitu mudah dan longgar (lulus SPM dengan 1 kredit atau kelayakan yang setaraf dengannya untuk kursus sijil dan lulus SPM dengan 3 kredit atau kelayakan yang setaraf dengannya untuk kursus diploma), jumlah kemasukan siswazah pun meningkat dengan mendadak.

Akan tetapi, gara-gara lambakan graduan ini, beberapa masalah telah muncul. Pertamanya, bilangan graduan yang dihasilkan adalah melebihi kehendak pasaran, suatu masalah yang pernah diakui oleh mantan Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Khaled Nordin.

Menurut laporan Bank Dunia pada tahun 2007 yang bertajuk “Malaysia and the Knowledge Economy: Building a World-Class Higher Education System”, wujud kesenjangan di antara penawaran dan permintaan (supply and demand) dalam pasaran kerja untuk graduan, di mana lebihan keluaran graduan berbanding pekerjaan yang sedia ada telah mengakibatkan fenomena pengangguran di negara kita.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, walaupun kadar pengangguran negara secara keseluruhannya adalah rendah (3.3 peratus setakat Mei 2013), kadar pengangguran dalam kalangan anak muda adalah tinggi, iaitu 10.3 peratus. Malah, kadar ini adalah lebih tinggi berbanding negara-negara jiran seperti Thailand (2.8 peratus) dan Singapura (6.7 peratus).

Pun begitu, angka ini tidak meliputi kadar “youth underemployment”, ataupun fenomena di mana anak muda terpaksa menerima jawatan dan tangga gaji yang lebih rendah berbanding kelayakannya. Di Malaysia, kadar ini adalah 15.1 peratus, sementara peratusan pemegang ijazah yang terpaksa bekerja dalam jawatan yang tidak memerlukan kelulusan ijazah adalah 21 peratus. Dengan kata lain, setiap satu daripada lima graduan di negara kita tidak berjaya mendapat kerja dan gaji yang setimpal.

Pastinya, sebilangan besar daripada graduan yang terpaksa menderita dengan pengangguran merupakan produk IPTS. Ini kerana peningkatan enrolmen pelajar IPTS adalah lebih ketara berbanding IPTA. Sebagai contoh, jumlah kemasukan pelajar IPTA telah meningkat daripada 310,000 pada tahun 2005 kepada 372,000 menjelang tahun 2010. Bagi IPTS pula, jumlahnya telah meningkat daripada 337,000 kepada 466,000.

Tambahan pula dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, di mana purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya mencatat 4.64 peratus sejak tahun 2000 hingga 2013, masalah pasaran pekerjaan ini dijangka akan berterusan.

Selain pembekalan graduan yang terlebih banyak berbanding ketersediaan peluang pekerjaan, dasar pendidikan swasta negara kita juga mendorong kepada penjanaan graduan yang kurang berkualiti, khususnya daripada IPTS. Ini disebabkan bukan sahaja oleh kemasukan pelajar-pelajar yang kurang layak, tetapi juga oleh kelemahan tenaga pengajar IPTS.

Menurut statistik Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2010, 50 peratus daripada staf akademik IPTS hanya mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda dan ke bawah. Nisbah pelajar IPTS kepada staf akademik berkelulusan PhD pula adalah 221:1 ataupun 221 pelajar kepada seorang PhD. Bagi nisbah fakulti berkelulusan sarjana dan ke atas kepada pelajar pula, kadarnya adalah 21:1. Secara lazimnya, nisbah yang lagi rendah adalah lebih afdal (Oxford mempunyai nisbah pelajar kepada fakulti 5:1 sementara Harvard mempunyai nisbah 7:1).

Oleh itu, persoalan muncul – adakah IPTS-IPTS di negara kita mempunyai tenaga pengajar yang layak dan mencukupi untuk menjamin pendidikan berkualiti tinggi bagi semua pelajarnya?

Dalam konteks ini, cadangan kerajaan untuk menyenaraihitamkan graduan-graduan yang tidak membayar balik pinjaman PTPTN dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) adalah kurang wajar. Walaupun cadangan tersebut tidak akan diteruskan buat masa kini, kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa IPT di negara kita, khasnya IPTS, telah gagal menghasilkan graduan yang memiliki kebolehpasaran yang secukupnya.

Jelas, dasar pendidikan tinggi negara serta skim pinjaman PTPTN tampaknya lebih bertujuan untuk menguntungkan pengusaha kolej swasta dan bukan untuk memastikan pembinaan modal insan yang berdaya saing. Dalam erti kata lain, bidang pengajian tinggi sudah menjadi perniagaan komersial yang lumayan, manakala kualiti pengajaran dianggap sebagai matlamat sekunder.

Yang paling tidak adil, para pengusaha IPTS tidak perlu menanggung sebarang risiko dan tanggungjawab untuk memastikan graduan mereka menepati keperluan pasaran kerja, bahkan terus mengaut keuntungan.

Justeru, adakah patut kita salahkan graduan-graduan kita yang dibebani bayaran hutang, sedangkan mereka tidak berjaya mencari pekerjaan yang selaras dengan kelulusan mereka akibat kecurangan sistem pendidikan tinggi negara kita? – Roketkini.com