Berita

Reformasi DUN Perak perlu untuk kepentingan rakyat

050412- Bangunan dewan undangan perak-TAIPING, 27 OGOS: ADUN DAP Kepayang, Nga Kor Ming, menggesa Speaker DUN Perak, SK Devamany supaya menerima cadangan mereformasikan Dewan Undangan Negeri Perak untuk meningkatkan kredibiliti dewan yang mulia itu demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, Pakatan Rakyat telah memutuskan cadangan 10 perkara untuk membawa reformasi kepada Dewan dan menyeru perlaksanaan serta penerimaan segera dari Devamany.

Katanya, antara cadangan itu ialah:

* Mengiktiraf secara rasmi jawatan Ketua Pembangkang Dewan Negeri berstatus Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) selaras dengan konvensi Parlimen dan sistem Westminster Parlimen Komanwel;

* Melantik Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negeri (PAC) seperti yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri PR Selangor;

*  Menggubal satu enakmen baru yang bergelar Enakmen Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Enactment)  supaya dapat diluluskan pada sesi persidangan hujung tahun 2013 seperti mana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri PR Pulau Pinang dan Selangor.

Nga yang juga Timbalan Bendahari DAP Kebangsaan turut mendesak Devamany agar menubuhkan Jawatankuasa Kewibawaan, Akauntabiliti dan Ketelusan Perak untuk memastikan ketelusan kerajaan negeri.

“Ini supaya Dewan Undangan Negeri diberi peranan yang utama untuk memain peranan periksa dan imbangan (check & balances) dalam urusan rasmi Kerajaan Negeri.

“Kami juga mencadangkan agar Adun dibenarkan memainkan peranan yang lebih penting untuk meningkatkan mutu pentadbiran kerajaan Negeri dan kerajaan harus menubuhkan jawatankuasa pilihan dalam aspek Kerajaan Tempatan, Pentadbiran tanah dan Syarikat Kerajaan(Government Link Company),” tegasnya.

Antara cadangan lain yang tertera dalam memorandum yang dihantar pada 26 Ogos itu adalah  menubuhkan Pusat Sumber Dewan Undangan Negeri, memulihkan siaran langsung persidangan, membuka liputan langsung kepada media, memberikan jawapan bertulis kepada semua soalan anggota DUN dan melantik pegawai penyelidik. -Roketkini.com