Berita

Hormati patriotisme 51 peratus rakyat undi Pakatan Rakyat

baerita lksKUALA LUMPUR, 30 OGOS: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan kelesuan rakyat untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-56, Sabtu ini, bukan disebabkan hilangnya semangat patriotisme tetapi wujudnya sesuatu yang tidak kena dalam kepemimpinan negara.

Katanya, beliau juga curiga dengan ‘patriotisme’ pemimpin yang bersedia memperkayakan diri menerusi korupsi dan penyalahgunaan kuasa sehingga mengorbankan hak rakyat dan kepentingan negara.

“Kalangan yang paling nyaring melaungkan ‘patriotisme’ selalunya adalah penipu sebenar dalam negara. Ada benarnya ungkapan Dr Samuel Johnson bahawa ‘Patriotisme adalah jalan akhir bagi penyangat’,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kerajaan seharusnya berpijak di bumi nyata dan kembali kepada realiti sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-56 ini.

“Selepas lebih 100 hari Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu, majoriti rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum yang mengundi Pakatan Rakyat (PR) dipandang serong dan menjadi sasaran fitnah.

“Selain menghentam kaum Cina dan India, Perdana Menteri juga gagal membuktikan beliau dan kerajaannya berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, belum terlambat untuk rakyat Malaysia merayakan Hari Kebangsaan ke-56 dalam perpaduan dan keharmonian tetapi langkah sulung yang perlu diambil ialah mengakui dan menghormati patriotisme 51 peratus rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat dan 47 peratus mengundi Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 baru-baru in,” ujarnya.

Menurut Kit Siang, patriotisme bukan semangat yang boleh dipaksa-paksa tapi ia lahir dalam diri setiap rakyat.

Beliau bersetuju dengan Kee Thuan Chye yang menulis artikel terbarunya mengenai patriotisme dan kemerdekaan yang menyatakan ‘patriotisme’ adalah semangat yang kita sematkan dalam jiwa kecintaan terhadap negara, ia adalah semangat yang membuatkan kita memutuskan untuk mempertahankannya, barangkali juga untuk mati deminya’

“Saya berkesempatan menyebut di Parlimen bahawa disebabkan semangat patriotisme dan cinta saya terhadap negara, demi mengejar Impian Malaysia untuk mewujudkan sebuah negara yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan daerah, saya bersedia hilang kebebasan apabila ditahan sebanyak dua kali mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri,” ujarnya.

“Saya rasa ada sesuatu yang amat tidak kena dalam menyambut Hari Kebangsaan, Sabtu ini.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah memperkenalkan undang-undang mewajibkan setiap premis mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan Merdeka ini, tetapi tiga hari kemudian hasratnya kendur dan mengakui kecewa kerana pejabat kerajaan di Putrajaya sendiri tidak menunjukkan contoh mengibarkan bendera kebangsaan.

“Mengapa perkara ini boleh terjadi? sedangkan pada perhimpunan raksasa Pakatan Rakyat sebelum ini dan selepas PRU-13, rakyat tanpa mengira kaum, agama, daerah, usia, atau jantina berdiri bangga menyanyikan lagu kebangsaan, ini menunjukkan semangat patriotisme dan kecintaan mereka terhadap negara. Ini membuktikan semangat mereka belum lesap,” katanya. -Roketkini.com