Berita

Isu SK Seri Pristana: DAP kecam kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan

Kulasegaran-1IPOH, 31 OGOS: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran menyelar kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan yang mendakwa insiden di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, baru-baru ini hanya masalah kecil.

Beliau berkata, jika benar kes itu hanya masalah kecil, Kamalanathan harus mengemukakan sebab dan memberi penjelasan sewajarnya mengenai insiden itu.

“Kenyataan Kamalanathan itu amat mengejutkan kerana insiden itu menyebabkan pelajar bukan Muslim berpindah secara beramai-ramai.

“Apabila murid dibuli dan diugut guru besar dan guru serta rakan sedarjah, pemberi maklumat menerima ancaman, ibu bapa ditangkap polis, dan murid mengalami trauma akibat ‘ditemuramah’ tanpa kehadiran ibu bapa, bagaimana seorang yang bergelar Timbalan Menteri Pendidikan boleh memberitahu kejadian itu hanya masalah kecil.

“Apakah ia untuk mengalihkan perhatian orang ramai?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat turut kesal kerana hingga hari ini Kamalanathan masih belum dapat memaklumkan hasil siasatan berhubung aduan terhadap Guru Besar SK Seri Pristana, Mohd Nasir Mohd Nor.

“Apabila isu ini meletus, Kamalanathan adalah individu paling cepat memohon maaf kepada guru besar.

“Mengapa kini tiba-tiba beliau begitu perlahan dalam mengemukakan hasil siasatan dalam keadaan ramai rakyat yang marah dan ingin segera mengetahui,” tambahnya.

Dalam pada itu, Kulasegaran turut mengulangi kritikan terhadap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang berdiam diri dalam permasalahan itu.

“Saya ingin bertanya kepada Muhyiddin, apakah tindakan beliau mendiamkan diri dan langsung tidak bertindak balas dalam isu itu ada kaitan dengan pemilihan UMNO? Dengan UMNO Selangor sebelum ini bermati-matian mempertahankan sekolah itu.

“Apabila Parlimen bersidang September ini, saya akan meminta Perdana Menteri membatalkan pelantikan Muhyiddin dan Kamalanathan sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan kerana kedua-duanya jelas tidak layak memegang jawatan itu,” tegasnya. -Roketkini.com

[Berita lain berkaitan isu pelajar dibuli dan diugut di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana]

Isu SK Seri Pristana tak selesai, mana semangat Pelan Pembangunan Pendidikan Muhyiddin?

Apakah Muhyiddin Yassin masih layak menjadi Menteri Pendidikan?