Berita

Kerajaan digesa tangani jurang pembangunan luar bandar – Lee Kee Hiong

lee kee hiongHULU SELANGOR, 31 OGOS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong berharap sempena sambutan kemerdekaan ke-56 negara tahun ini, kerajaan akan mengambil inisiatif menangani jurang perbezaan antara pembangunan luar bandar dan bandar agar rakyat dapat menikmati kebahagiaan dan kemakmuran sebagai warga Malaysia.

“Sungguhpun banyak kejayaan yang dicapai negara selepas menikmati kemerdekaan, namun masih ada lagi permasalahan yang tidak dapat diselesaikan terutamanya pembangunan di luar bandar.

“Perkara ini perlu ditangani segera terutama pembangunan di luar bandar di mana terdapat banyak perumahan, flat dan apartmen terbengkalai dan tidak berpenghuni. Tempat ini bukan saja menjadi sarang penjenayah, malah banyak besi, wayar elektrik, struktur rumah dicuri tanpa pengawasan pemaju atau pihak yang bertanggungjawab.

“Jalan untuk memajukannya semula perlu dicari dan jika masalah itu dapat ditamatkan tentu akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar, sekaligus membasmi pengangguran,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Selangor menegaskan, pembangunan pesat bukannya alasan untuk mengabaikan alam sekitar.

“Ketika mengharungi arus globalisasi dan modenisasi, Malaysia mengalami pembangunan yang pesat terutama dalam sektor perindustrian tapi kita juga kerap kali dibelenggu masalah pencemaran alam sekitar yang boleh membahayakan kesihatan.

“Mana-mana projek yang tidak selamat dan mengancam kesihatan seperti Lynas di Pahang harus dihentikan.

“Pemantauan kadar asap berlebihan yang dikeluarkan kilang dan kenderaan juga perlu dilakukan lebih kerap agar rakyat dapat hidup dalam persekitaran yang bersih dan nyaman,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesa kerajaan agar mempertingkatkan keselamatan dan menambah bilangan pihak berkuasa supaya ketenteraman rakyat sentiasa terjaga.

“Saya juga berharap kerajaan dapat pertingkatkan kawalan keselamatan kerana kejadian tembakan, pembunuhan dan kumpulan kongsi gelap semakin bermaharajarela.

“Ia menimbulkan rasa takut dan tidak selamat apabila jenayah pembunuhan setiap minggu berlaku dalam negara.–Roketkini.com