Berita

Penjualan ‘pil ajaib’ di sekolah, PR desak Muhyiddin ambil tindakan tegas

tony okm 2KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Pakatan Rakyat (PR) mendesak Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas terhadap pihak sekolah dan syarikat yang terbabit dalam pembuatan, pengedaran, promosi produk dan penjualan ‘pil ajaib’ Dimensi 108 di sekolah seluruh negara.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah dan Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming dalam kenyataan bersama mereka menegaskan Guru Besar dan guru yang mempromosi produk itu harus digantung tugasan.

Menurut mereka, ia berdasarkan laporan daripada dua sekolah di Selangor di mana ibu bapa mengadu anak mereka dipaksa Guru Besar dan Penolong Guru Besar membeli ‘pil ajaib itu.

Sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan Taman Segar, Cheras dan Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Kemuning 2, Kota Kemuning.

“Pil ajaib Dimensi 108 kini dipasar secara meluas di sekolah kerana dikatakan mempunyai kuasa mengubah tingkah laku pelajar (kuasa mengubah perangai) dan berjaya membantu pelajar Tahun Satu hingga Tahun Enam meningkatkan prestasi akademik mereka dalam jangka masa pendek iaitu 20 hari.

“Ia amat tidak boleh diterima apabila Guru Besar dan Penolong Guru Besar menyalahgunakan kedudukan mereka untuk memasarkan produk ini kepada pelajar di sekolah mereka. Dalam kes SK Taman Segar, ibu bapa mendakwa anak perempuannya dipaksa Guru Besar membeli pil ajaib itu walaupun tidak wajib memakannya.

“Berikutan itu, kami menyeru Muhyiddin mengambil tindakan menggantung Guru Besar dan Penolong Guru Besar terbabit sementara menunggu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

tony okm3Pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata tindakan menjual pil ajaib itu di sekolah adalah melanggar peraturan yang ditetap Kementerian Pendidikan.

“Ia membabitkan pelbagai kementerian, jadi kami menyeru semua kementerian mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak terbabit.

“Kami sangat risau kerana produk itu juga mendapat sokongan Majlis Guru Besar Malaysia. Mengikut surat sokongan yang dikeluarkan Majlis Guru Besar Daerah Mersing dan Kota Tinggi, peningkatan dalam ujian UPSR di kedua-dua daerah itu akan dapat dicapai tanpa bantuan pil ajaib itu.

“Muhyiddin perlu menjelaskan jika kementeriannya meluluskan pemberian pil ajaib itu dan memberi jawapan kebenaran dakwaan bahawa ia memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi UPSR pelajar di daerah yang dinyatakan,” katanya.

Selain menajamkan fikiran, pil ajaib yang dijual syarikat 3G Dimensi 108 Sdn Bhd itu juga didakwa boleh menyebabkan pelajar yang mengambilnya lebih menunjukkan rasa hormat kepada ibu bapa dan guru.

Satu carian web juga mendedahkan bahawa ADUN BN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif juga membekalkan pil ajaib itu kepada semua pelajar yang akan menduduki UPSR di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, Sepang melalui guru besar.

Kian Ming pula mengemukakan bukti bahawa seorang daripada pemegang saham agensi diberi kuasa mengagihkan pil itu bekerja di Kementerian Pendidikan.

“Kita menemui bukti bahawa pemegang saham agensi bernama Ahmad Abdul Rahman bekerja di Kementerian Pendidikan dan beliau adalah pemegang saham Glomind Enterprises, ejen pengedaran pil itu.

“Laman facebook Glomind dan laman Dimensi 108 mendapati Ahmad adalah promoter produk, laman Facebooknya pula menyatakan beliau bekerja dengan Kementerian Pelajaran. Jadi jelas wujudnya konflik kepentingan apabila seorang penjawat awam yang juga pemegang saham syarikat jualan memasarkan produknya kepada kementerian tempat dia bekerja.

pil magik“Kami mendesak Muhyiddin menyiasat konflik kepentingan atau pelanggaran terhadap syarat dan peraturan kontrak pekerjaan dalam perkhidmatan awam berlaku dalam hal ini,” katanya.

Katanya lagi, logo Kementerian Kesihatan juga dipaparkan di bahagian bawah produk dan ia memberi gambaran produk itu juga disahkan Kementerian Kesihatan.

“Dalam jawapan e-mel Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dinyatakan dengan jelas bahawa Dimensi 108 tidak dibenarkan membuat apa-apa tuntutan kesihatan (tuntutan kesihatan) untuk produk itu.

“Pelanggaran undang-undang yang berlaku ini juga harus disiasat berhubung.

“Kami tidak menentang usahawan yang ingin membina perniagaan yang sah dalam industri makanan tapi cara pemasaran melalui sekolah dengan menggunakan guru besar, penolong guru besar, Majlis Guru Besar Malaysia dan menggunakan logo Kementerian Kesihatan sangat tidak boleh diterima dan tidak beretika serta mungkin menyalahi undang-undang. -Roketkini.com