Berita

Rakyat diharap bersatu sokong Impian Malaysia: Kit Siang

lks (2)KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Ketua Perlimen DAP, Lim Kit Siang berharap rakyat dapat bersatu menyokong Impian Malaysia ke arah membina negara Malaysia yang lebih bersatu-padu, demokratik, bebas, adil dan makmur untuk semua warganya, agar Malaysia dapat berdiri megah di mata dunia.

Katanya, harapan terlalu tinggi memandangkan sejak beberapa bulan lalu bahasa dan politik kebencian, kecurigaan, dan wasangka semakin menguasai ruang awam, sama ada di media cetak atau internet, sehingga menyebabkan ramai warga Malaysia bimbang mengenai masa depan negara.

“Rakyat Malaysia tidak seharusnya membiarkan jurang antara kelompok, rintangan, dan kegagalan menghalang kita daripada terus berusaha mencapai Impian Malaysia untuk membentuk masyarakat majmuk di mana semua warganya bersatu sebagai satu bangsa melampaui perbezaan kaum, agama, budaya, dan bahasa sebagaimana yang dihadapi rakyat Amerika yang terus mengorak langkah mengejar American Dream walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan kegagalan yang mengganggu proses pembinaan negara Amerika,” katanya dalam mesej Hari Kebangsaan ke-56, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Rabu lalu, rakyat Amerika merayakan ulangtahun ke-50 ucapan bersejarah Martin Luther King Jr, “I have a dream”, yang disampaikan di Washington pada 28 Ogos 1963.

Menurutnya, dalam ucapan itu, Martin Luther King Jr mengimbau American Dream, iaitu impian untuk mewujudkan sebuah negara yang inklusif di mana keadilan dan kebebasan dinikmati secara setara oleh semua warga Amerika tanpa mengenal warna kulit atau kepercayaan.

“Telah banyak kemajuan dicapai Amerika Syarikat sejak lima dekad lalu dalam mengejar matlamat itu, bagaimanapun usaha menyempurnakan American Dream masih berjalan.

“Saya percaya sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama, dan daerah adalah warganegara yang patriotik.

“Walaupun berbeza kaum, agama, bahasa, budaya, dan daerah, kita adalah bangsa Malaysia yang setia tidak berbelah-bagi kepada negara. Kita berkongsi satu tanah air, Malaysia, tanah tumpah darah kita. Justeru itu kita wajib bersatu sebagai satu bangsa untuk mengembangkan keagungan negara ini dengan memanfaatkan kekayaan budaya, nilai, dan tradisi pelbagai kaum, agama dan kebudayaan yang telah bertapak di Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, dengan Impian Malaysia sebagai tapak, takdir Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan sebagai sebuah negara terulung di dunia akan tercapai.- Roketkini.com