Berita

Rakyat Malaysia perlu kembali kepada idealisme demokrasi, keadilan

lge-komradKUALA LUMPUR, 30 OGOS: Rakyat Malaysia perlu kembali kepada idealisme demokrasi dan keadilan yang menjadi inspirasi kepada pengasas negara sekiranya mahu merealisasikan aspirasi yang benar, adil dan baik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, institusi berasaskan peraturan, meraikan kepelbagaian dan pentadbiran berasaskan hasil akan membantu mewujudkan perpaduan nasional, integriti dan kemakmuran ekonomi untuk semua.

Katanya, marilah kita buktikan bahawa rakyat Malaysia boleh menjadi yang terbaik, bukannya yang terburuk seperti yang didakwa sesetengah ahli politik.

“56 tahun selepas Merdeka, harapan dan aspirasi pengasas negara ini tidak sama dengan realiti generasi hari ini, sebaliknya Malaysia terus dilanda perpecahan kaum dan pelampau, membayangi serta merelakan kronisme, salah guna kuasa serta rasuah terus berakar umbi.

“Prestasi buruk Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) meskipun begitu banyak dana awam dilaburkan berbanding Air Asia Bhd menimbulkan banyak tanda tanya.

“Walaupun tidak menerima satu sen pun dana awam, Air Asia begitu konsisten memberi prestasi yang lebih baik berbanding MAS dengan kadar tambang yang lebih rendah, malah kini mempunyai permodalan pasaran lebih luas berbanding, selain bilangan pesawat dan harga saham,” katanya dalam Perutusan Hari Merdeka 2013, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, rakyat berhak mempertikai nilai wang yang dibelanjakan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM19 bilion sejak 1998 untuk memberikan MAS kekuatan untuk melunaskan hutangnya, termasuk menjamin pinjaman MAS berjumlah RM12.3 bilion.

Menurut beliau, mematuhi satu sistem yang terbuka, telus dan akauntabel; institusi yang berasaskan peraturan akan memastikan hanya mereka yang benar-benar bersih, cekap dan mahir diamanah menggalas tanggungjawab membabitkan amanah rakyat.

“Semakan terhadap unjuran kredit Malaysia daripada ‘stabil’ kepada ‘negatif’ oleh agensi Fitch Ratings adalah petanda betapa seriusnya defisit belanjawan kerajaan Malaysia dengan kadar 4% daripada KDNK serta kedudukan keterhutangan yang menghampiri 70% jika diambil kira liabiliti tambahan.

“Lebih teruk lagi ialah nisbah hutang isi rumah kepada KDNK yang berada pada kadar 83.5%, di mana separuh daripada pendapatan isi rumah rakyat miskin diguna untuk membayar hutang.

“Jika Kerajaan Persekutuan benar-benar mahu menurunkan kadar hutang isi rumah, ia mesti merintis jalan dengan mengambil langkah membanteras rasuah demi menurunkan hutang Kerajaan Persekutuan serta defisit belanjawan,” katanya.-Roketkini.com