Berita

Speaker, Exco Selangor seru rakyat kekalkan keharmonian

hannah yeoh-IMG_6429 (13)SHAH ALAM, 31 OGOS: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh berharap generasi muda tidak memandang ringan kemerdekaan yang dikecapi 56 tahun lalu dan menjadikannya inspirasi kebersamaan kehidupan berbilang kaum di Malaysia.

“Selamat Hari Merdeka yang ke-56 saya ucapkan kepada rakyat negeri Selangor dan seluruh warga Malaysia.

“Saya berharap kemerdekaan yang kita peroleh daripada generasi terdahulu tidak dipandang mudah oleh generasi muda, keharmonian yang kita capai sekarang harus dipupuk dan dipelihara agar ia dapat dikekalkan,” katanya yang juga ADUN DAP Subang Jaya ketika ditemui pada Sambutan Ambang Kemerdekaan ke-56 Peringkat Negeri Selangor, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, semalam.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau pula meminta rakyat membalas jasa wira kemerdekaan dengan cara memandu negara ke arah modernisasi secara bijaksana agar dapat meneruskan kehidupan dengan aman.

Beliau yang juga ADUN DAP Kota Alam Shah berkata, erti kemerdekaan harus diselami dengan menyusuri lembaran sejarah kerana perjuangan menuntut pembebasan tidak boleh berhenti walau apa jua halangan yang dihadapi.

“Jasa dan pengorbanan pejuang kita dahulu harus ditanam dalam diri setiap rakyat dan semangat itu perlu dijadikan tauladan serta pemangkin kepada generasi muda negara untuk terus maju mencapai kecemerlangan.

“Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa Malaysia yang gemilang di mata dunia.

“Kekuatan politik dan semangat kebersamaan adalah asas kejayaan kemerdekaan, kesedaran perlu didokong semua rakyat yang cintakan negara,” ujarnya.

Majlis Sambutan Kemerdekaan peringkat Negeri Selangor yang bertemakan ‘Rakyat Bersatu Selangorku Maju’ dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Tengku Panglima Diraja Selangor yang mewakili Sultan Selangor serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sambutan juga dimeriahkan dengan perbarisan dan perarakan 45 kontinjen terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan antaranya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran, Jabatan Kastam dan beberapa lagi jabatan.

Acara turut diserikan dengan persembahan kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pertunjukan tatu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pancaragam sekolah di sekitar Selangor.  -Roketkini.com