Berita

50 tahun penubuhan Malaysia, Sabah masih dianak tiri

KOTA KINABALU, 2 SEPTEMBER: Biar pun hampir separuh abad bersama Persekutuan Malaysia, negeri Sabah terus dianak tiri dan ketinggalan dalam menikmati pelbagai kemudahan asas yang sempurna termasuklah jaringan jalan raya yang mampu memacu ekonomi negeri.

Melahirkan rasa sedih dan kecewanya, Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin menyifatkan apa yang berlaku ke atas Negeri di Bawah Bayu itu sebagai satu diskriminasi Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) terhadap hak dan keperluan rakyat Sabah.

“Ini yang saya kata sebagai ‘The missing link’. Kerajaan bercakap mengenai perpaduan seluruh rakyat dan gagasan 1Malaysia tetapi apa yang kita lihat sejak hampir 50 tahun Sabah bersama Malaysia ialah sebaliknya, kita tidak nampak mana kesatuan Malaysia itu,” ujar beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, perkara yang menjadi persoalan umum kini ialah mengapa negeri-negeri lain mampu menikmati kemudahan yang sempurna sedangkan tidak bagi negeri Sabah walau pun banyak memberi sumbangan kepada ekonomi negara.

“Semua tahu, Sabah beri hasil petroleum, balak dan pelancongan yang besar kepada ekonomi Malaysia tetapi yang menghairankan, perkara asas dalam pembangunan negeri iaitu jaringan jalan raya sangat teruk,” katanya.

Menurut Jimmy Wong, tanpa jaringan jalan raya yang sempurna dan selesa menghubungkan bandar-bandar dalam negeri itu, pembangunan negeri akan terbantut.

“Mengapa jaringan jalan raya di negeri ini begitu teruk? Masalah jalan raya ini bukan isu baru. Dari dulu lagi kerajaan BN sebut mengenai Pan Borneo Highway tapi sampai sekarang tak ada, kita nak tanya mana dia lebuh raya itu?

“Apa yang kita lihat hanya satu jaringan jalan raya dua hala dan selalu bermasalah, berlubang-lubang dan tidak selesa. Adakah ini yang dikatakan Pan Borneo Highway?,” soalnya.

Berhubung perkara ini, beliau menggesa Kerajaan BN untuk mengotakan semua janji-janji mereka dalam kempen pilihan raya yang lalu.

“Jangan masa pilihan raya saja janji itu dan ini. Buktikan, jangan cakap sahaja. Rakyat Sabah bukan bodoh,” ujar beliau. – Roketkini.com