Berita

Hutang negara melepasi siling, Kementerian digesa perjelas situasi pinjaman 1MDB

lge (8)KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu Kementerian Kewangan berlaku telus mengenai faedah ekonomi yang dinikmati rakyat Malaysia daripada pinjaman bernilai RM48.4 bilion oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ini kerana pinjaman puluhan bilion itu telah menyebabkan peningkatan kadar hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK sehingga mencapai 70 peratus.

“Jaminan pinjaman yang sangat besar dan tidak dijelaskan oleh Kerajaan Persekutuan telah menyebabkan agensi Fitch Ratings menyemak semula unjuran kredit Malaysia daripada ‘stabil’ menjadi ‘negatif’,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, unjuran kredit negatif Fitch terhadap Malaysia boleh memberi kesan buruk kepada negara dalam bentuk peningkatan kos untuk pinjaman selain mengakibatkan peningkatan kadar inflasi.

“Fitch mempersoalkan penggunaan hutang tidak yang tidak disenarai rasmi melalui jaminan kerajaan sehingga mencecah hampir RM150 bilion, yang telah meningkatkan jumlah keterhutangan rasmi kerajaan daripada RM502 bilion menjadi RM650 bilion pada penghujung tahun 2012,” kataya.

Menjelaskan lanjut, Guan Eng berkata apa yang dilakukan Kerajaan Malaysia ialah mengecilkan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan dengan tidak mengambil kira hutang-hutang yang tidak disenarai secara rasmi sebagai sebahagian daripada hutang kerajaan.

“Jika kedua-dua hutang rasmi kerajaan dan hutang yang dijamin kerajaan dikira bersama, kadar hutang kerajaan persekutuan terhadap KDNK akan mencecah 70 peratus dan bukannya 54 peratus seperti yang didakwa.

“Malah adalah menyalahi undang-undang yang menetapkan takat statutori sebanyak 55 peratus sahaja,” jelas beliau.

Katanya, kebanyakan hutang yang dijamin kerajaan ini berpunca daripada instrumen kewangan seperti pinjaman 1MDB bernilai US$12 bilion atau RM39 bilion melalui terbitan bon.

“Sampai sekarang, kita, rakyat Malaysia masih tidak tahu siapakah pihak pengurusan serta status pinjaman RM39 bilion yang dijamin oleh kerajaan, terutama sekali samada 1MDB telah menghasilkan sebarang keuntungan yang boleh dijadikan wang tunai,” kata Guan Eng.

Malah, tambahnya, wujud khabar angin bahawa 1MDB dikaitkan dengan kroni-kroni muda kepada pimpinan BN.

“Justeru, untuk mengelakkan sebarang spekulasi, demi kepentingan nasional dan demi menjulang prinsip akauntabiliti dan ketelusan, suatu kenyataan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mesti dikeluarkan berkenaan status semasa 1MDB,” gesa beliau.-Roketkini.com