Berita

DAP prihatin, peduli derita marhaen Kluang

lct lawat 2KLUANG, 3 SEPTEMBER: Tersentuh dengan keperitan hidup sebuah keluarga miskin lima beranak dengan anak bongsu yang menghidap penyakit diabetes kronik, Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong baru-baru mengambil kesempatan untuk mengadakan lawatan susulan untuk bertemu keluarga berkenaan.

Dalam lawatan bersama ADUN Mengkibol, Tan Hong Pin dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAPSY Kebangsaan, Mahdzir Ibrahim; Chin Tong bertemu dengan Nazarudin Sham iaitu bapa kepada Abdul Rahman, 12, untuk bertanyakan masalah serta meninjau bentuk bantuan yang dapat disalurkan.

Nazarudin yang hanya memperoleh pendapatan hasil mengambil upah menjual goreng pisang dan apam balik juga mengalami masalah kesihatan akibat kemalangan motosikal ketika berusia 19 tahun dan kini terpaksa menanggung kesan sampingan dari kemalangan itu.

Chin Tong dan Hong Pin turut menyampaikan sumbangan peribadi dan akan berusaha membantu keluarga Nazarudin untuk mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Baitulmal bagi meringankan beban yang ditanggung.

Pada masa sama, mereka akan mengadakan rundingan dengan pihak sekolah untuk membantu dan memastikan 3 orang anak Nazarudin yang tidak dapat meneruskan persekolahan kerana kekangan kewangan dapat bersekolah semula.

Pada 19 Ogos lalu, Mahdzir telah mengambil inisiatif untuk menemui keluarga Nazarudin yang tinggal di Kluang dan akan merujuk kes ini kepada pejabat DAP Parlimen Kluang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol untuk tindakan lanjut.

lct lawatChin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP pada hari sama turut mengadakan lawatan kedua ke rumah keluarga Jimiwar di Kampung Baru, Kluang.

Jimiwar yang hidup serba daif dan kekurangan, kini terbeban dengan masalah tambahan apabila anak kecilnya berusia 2 tahun mengalami bengkak pada kedua-dua belah jantung.

Beliau tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anaknya, manakala suaminya pula tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana ditimpa kemalangan motor beberapa tahun lalu, ia sekaligus menyukarkan mereka untuk menampung kos ubat dan perjalanan.

Lebih memilukan apabila anak kecilnya itu tidak diterima Pusat Penjagaan Kanak-Kanak kerana tidak mahu risiko dan beliau terpaksa berulang-alik ke Johor Bahru untuk pemeriksaan doktor dan mengambil ubat.

Chin Tong melahirkan kesedihan dan kekesalannya terhadap kepayahan hidup yang menimpa keluarga Jimiwar dan Nazarudin, beliau menegaskan akan berusaha mencari ikhtiar membantu mereka.

“Masalah keluarga ini ibarat ‘trend’ yang mana anak-anak menghadapi masalah kesihatan, tidak bersekolah, serta ibu bapa tidak bekerja.

“Malah bapa kedua-kedua keluarga ini mengalami eksiden motorsikal, ini menjadi indikasi bahawa masalah keselamatan jalanraya, sitem pengangkutan awam harus diberi keutamaan oleh kerajaan untuk memastkkan nyawa dan keselamatan jiwa raga rakyat”.

“Masalah bantuan kebajikan, perubatan, pendidikan serta sistem pengangkutan awam harus diselesaikan secara objektif dan komprehensif, merentasi jurang perkauman, kebajikan rakyat ini merupakan asas penting untuk kemajuan sosial dan ekonomi”,” ujarnya.

Sumbangan peribadi turut disampaikan oleh beliau dan Hong Pin sambil berikrar untuk mencari jalan bagi mendapatkan bantuan dari EXCO negeri serta jabatan kerajaan yang lain. -Roketkini.com