Berita

Jangan biar Malaysia dikhianati pemerintah BN – Datuk Ariff Sabri

ariff SabriRAUB, 3 SEPT: Kedaulatan Malaysia harus terpelihara bukan sahaja dari anasir luar tetapi dari ancaman pemerintah sendiri yang menyalahgunakan kuasa mereka demi kepentingan peribadi.

Menurut Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Arif Sabri dalam tulisan blognya, ancaman terhadap kepentingan Melayu Bumiputera kononnya, hanyalah merupakan drama pemerintah UMNO-Barisan nasional (BN) untuk terus mendapatkan sokongan orang Melayu dan Bumiputera

“Bagaimana kepentingan orang Melayu tergugat kecuali orang Melayu membiarkannya? Dan oleh kerana UMNO menguasai kerajaan dan pentadbiran, bagaimana kepentingan Melayu tergugat melainkan UMNO  yang membiarkannya tergugat?” soalnya.

Menurut beliau, tindakan memberikan kerakyatan mudah kepada warga asing seperti yang telah terbukti dalam RCI Sabah jelas merupakan satu pembelotan terhadap negara.

“Ini merupakan satu pengkhianatan jelas kepada tanah air dan rakyat. Ia telah berlaku lama. Mengapa sehingga penceroboh masuk dan membuat kacau barulah kerajaan bertindak?” soalnya lagi.

Justeru Mohd Ariff menggesa agar kerajaan kembali memberi fokus kepada menyelesaikan masalah pokok yang berlaku iaitu mengembalikan ketelusan, tegas dan beramanah.

“Jika kita benar-benar mahu negara kita berdaulat dan memuliakan kemerdekaan yang kita capai, kita mesti hapuskan segala bentuk pengkhianatan dan pembelotan yang datang dari pemerintah kita sendiri.

“Jangan berkhutbah kepada kita mengenai konsep kedaulatan negara jika tangan kita berlumuran dengan pembelotan,” katanya –Roketkini.com