Berita

Kemelut kenaikan harga petrol, bahayakan pengguna

LCT-IMG_7164 (1)KUALA LUMPUR, 3 SEPTEMBER: DAP menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menaikkan harga petroleum RON95 dan diesel masing-masing 20 sen tanpa usaha serius menaik taraf sistem pengangkutan awam negara akan membahayakan pengguna jalan raya.

Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong berkata, buktinya berdasarkan peningkatan sebelum ini yang mengakibatkan pengguna jalan raya menukar kenderaan daripada kereta kepada motosikal sebagai langkah berjimat akhirnya memberi kesan yang tidak diingini.

“Kajian menunjukkan bahawa kematian penunggang motosikal meningkat akibat kenaikan harga minyak pada Mac 2006 dan Jun 2008. Golongan berpendapatan rendah kemudiannya menukar mod pengangkutan mereka daripada kereta kepada motosikal.

“Kenaikan harga minyak akan menyebabkan bencana kemalangan motosikal akan lebih meningkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP menyatakan, walaupun kemalangan maut di Malaysia sememangnya tinggi namun pengguna motosikal lebih berisiko.

“Malaysia mempunyai rekod kematian yang tinggi di jalan raya iaitu kematian bagi setiap 100,000 penduduk di dunia sejak 1996.

“Antara 2000 dan 2009, 4.5 juta kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku membabitkan 58,582 kematian.

“Kematian penunggang motosikal adalah tiga kali lebih tinggi berbanding kematian kemalangan kereta, bersamaan enam kali lebih tinggi daripada kematian pejalan kaki dan hampir 50 kali lebih tinggi kematian penumpang bas,” ujarnya.

Beliau juga meminta Najib mengakui peningkatan kematian penunggang motosikal adalah berpunca daripada kenaikan harga minyak serta mengambil tindakan segera untuk merangka pelan pengangkutan negara dengan tumpuan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Najib harus akui peningkatan kematian kemalangan motosikal adalah berpunca daripada kenaikan harga minyak dan beliau juga perlu menyediakan pengangkutan awam yang cekap serta berkemampuan di seluruh negara.

“Di negara lain di mana perkhidmatan pengangkutan awam yang secukupnya dan cekap disediakan, kenaikan harga petrol akan menggalak pemandu kereta untuk beralih kepada pengangkutan awam.

“Tapi berbeza dengan Malaysia, setiap kenaikan bahan api bermakna akan mengundang lebih banyak kematian di jalan raya,” tegasnya. -Roketkini.com